Muzikal ‘Les Miserables’ di Iran unik, patuh larangan
PENGARAH
teater Iran, Hossein Parsaee, menganggap novel klasik Victor Hugo sebagai “adikarya tanpa sempadan” tetapi penerbitan bersejarah ‘Les Miserables’ yang telah dipentaskan di Tehran ada beberapa jalan cerita yang unik.
Sebagai permulaan, tiada seorang pun aktres terbabit yang dibenarkan untuk mendedahkan rambut mereka sendiri, dan jika rambut palsu mereka kelihatan terlalu asli, poster yang mengiklankan pementasan itu memaparkan notis merah terang yang menekankan bahawa rambut mereka adalah palsu.
Selain itu, pelakon lelaki dan pelakon wanita tidak berpegangan tangan, atau melakukan sebarang sentuhan fizikal lain sepanjang muzikal itu.
Yalah, ini adalah ibu kota republik Islam itu, walaupun pementasan ‘blockbuster’ di Hotel Espinas yang mewah rasa berbeza sekali daripada stereotaip biasa tentang Iran.
Konsesi kepada pandangan kerajaan tentang peraturan Islam sering halus.
Contohnya, sekurangkurangnya satu lagi suara mengiringi seorang aktres apabila aktres itu berlagu – kerana solo wanita diharamkan – tetapi mengesan suara kedua mungkin rumit.
Semua perkara asas lain dalam muzikal berbajet besar ada di sini: orkestra secara langsung, ais kering yang berkepul-kepul, dan pertunjukan cahaya yang memukau.
Dengan barisan pelakon, kru dan orkestra melebihi 450 orang, penerbitan itu telah ditonton oleh 2,500 orang selama enam malam seminggu sejak ia membuat pementasan sulung pada November lalu.
- ‘Segalanya sempurna’ Kebanyakan
penonton muda dan kaya ketika AFP melakukan kunjungan baru-baru ini, dan mereka tidak dapat mengawal keterujaan mengenai peluang yang jarang sekali didapati untuk menghadiri muzikal di kota asal mereka.
“Ia jauh lebih daripada apa yang saya jangkakan,” kata Maryam Taheri, seorang suri rumah berusia 45 tahun, selepas pementasan.
“Lakonan, muzik, cahaya – segalanya sempurna.”
Versi kartun, filem dan TV buatan asing bagi ‘Les Miserables’ – sebuah epik abad ke-19 dari Perancis mengenai pergolakan sosiopolitik, jenayah dan hukuman – kerap ditunjukkan di Iran, di mana buku tersebut juga sudah diterjemahkan.
Karya klasik itu malah mempunyai mohor kebenaran daripada pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, yang menyifatkan buku Victor Hugo sebagai “satu keajaiban di kalangan novel, sebuah buku kebaikan hati, kasih sayang dan cinta”.
Penerbitan baharu dipuji sebagai pementasan paling menakjubkan setakat ini yang dipersembahkan di Iran, dan tiba pada waktu topikal dengan protes “ves kuning” yang sedang berlaku di Perancis.
“Selepas 200 tahun, kita melihatnya berlaku lagi di Perancis,” kata ahli perniagaan Mehdi Hooshyar.
“Ini adalah bagus, ia menunjukkan setiap kali masyarakat mereka tidak berkembang, sesuatu seperti ini berlaku untuk menggerakkannya ke hadapan,” katanya.
“Revolusi masih hidup.”
- Tiada ‘Miserables’ dibenarkan masuk’ Bagaimanapun
kemewahan penerbitan itu turut mengundang kritikan.
Pementasan itu dibuat pada waktu yang bergolak di Iran, apabila kemarahan mengenai ketidaksamarataan ekonomi dan gejala rasuah mendominasi perdebatan politik.
Tiket, yang berharga antara 500,000 hingga 1.85 juta rial (kira-kira AS$5 hingga AS$20 atau RM20 hingga RM80), tidak mampu dibayar oleh kebanyakan warga Iran.
“Tiada ‘Miserables’ dibenarkan masuk,” kata akhbar harian konservatif Javan.
Pengarah Parsaee berkata berhubung dengan golongan elit di Tehran adalah sebahagian daripada sebabnya.
“Cerita ini relevan sepanjang zaman, dan di semua tempat, dan itu termasuk Tehran pada hari ini. Ia adalah mengenai jurang kelas, keruntuhan sosial dan kemiskinan yang wujud pada hari ini,” katanya kepada AFP.
“Ia adalah peringatan kepada audiens bahawa kelas lain wujud dan kita perlu melihatnya dan tahu tentangnya. Ia adalah amaran yang serius.”
- ‘Tiada larangan dilanggar’ Kebanyakan
pementasan itu seakan-akan bertentangan dengan pantanglarang di Iran, termasuk tarian campuran dan minum di rumah pelacuran dan rumah tumpangan.
Namun Parsaee, yang pernah mengetuai jabatan seni pentas di Kementerian Kebudayaan dan Bimbingan Islam, amat tahu tentang batas-batas.
“Lembaga semakan semula menonton seluruh pementasan sebelum kami dibenarkan memulakan pertunjukan kami,” katanya.
“Mereka mendapati ia serasi sama sekali dengan peraturan. Tiada larangan dilanggar.”
Minat mendalam pengarah itu kepada muzikal bermula kira-kira sedekad lalu selepas dia menonton ‘Oliver Twist’, berdasarkan novel klasik tulisan Charles Dickens, di London.
“Saya murung selama berhari-hari, memikirkan kenapa kita tidak dapat membuat ini? Saya berikrar kepada diri sendiri bahawa asya akan suatu hari nanti membuat muzikal di Iran.” Itulah apa yang dia buat, membawa ‘Oliver Twist’ ke pentas di Tehran pada tahun lepas.
Sekarang dia sudah menubuhkan sebuah syarikat penerbitan untuk melatih generasi pengarah muzikal baharu.
“Saya sudah membuka pintu kepada muzikal di Iran, dan sekarang, seperti perlumbaan lari berganti-ganti, orang lain mesti membawanya ke depan sehingga tahap di mana perbezaan tiada lagi di antara Iran dan Broadway.” — AFP