Utusan Borneo (Sabah)

NGO, orang perseorang­an tampil bantu mangsa kebakaran di Putatan

-

KOTA KINABALU: Hampir 300 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang perseorang­an di sekitar bandar raya ini tampil menghulurk­an bantuan termasuk makanan dan pakaian untuk mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, dekat sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putatan Sairah Tapa berkata ia adalah jumlah direkodkan jabatan itu setakat jam 3.30 petang Sabtu, dan setiap NGO mahupun orang perseorang­an yang menghulurk­an bantuan perlu merekodkan nama mereka bagi memudahkan jabatan membuat pengagihan secara sama rata kepada semua mangsa terlibat.

“Setakat ini, mangsa didaftarka­n di Pejabat Kebajikan Putatan adalah seramai 76 ketua keluarga melibatkan 329 mangsa. Tetapi yang tinggal di pusat pemindahan ini cuma 35 ketua keluarga melibatkan seramai 160 mangsa dan selebihnya tinggal dengan saudara mara.

Setiap sumbangan diterima akan direkodkan di dalam buku. Sekarang ini kami menerima sumbangan terlalu banyak dari NGO dan orang perseorang­an termasuk makanan, pakaian, peralatan mandian dan juga barangan dapur seperti beras.” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Putatan, di sini pada Sabtu.

Bagaimanap­un, Sairah berkata pihaknya juga memerlukan peralatan sekolah untuk diberikan kepada anak-anak mangsa yang bersekolah.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari Jumaat, 55 rumah setinggan di kampung itu musnah dengan keseluruha­n keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta keadaan rumah yang dibina terlalu rapat.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri berkata pihaknya akan menyediaka­n kekuatan sukarelawa­n bagi membantu agensi dan jabatan berkaitan menyelaras­kan sumbangan diterima bagi memastikan bantuan mencukupi untuk semua mangsa terlibat.

“Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan pegawai daerah mengenai perkara ini selain sukarelawa­n terlibat juga akan bergotong royong memastikan kawasan pusat pemindahan sementara ini sentiasa bersih,” katanya.

MBS turut memberi sumbangan bantal, selimut, tuala, peralatan mandian, dan keperluan harian lain untuk kegunaan mangsa kebakaran sepanjang berada di pusat pemindahan sementara itu, katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia