Polis nafi berita tular lelaki mengamuk tikam orang
GEORGE TOWN: Polis menafikan kejadian seorang lelaki mengamuk sehingga menyebabkan beberapa orang cedera ditikam seperti yang tular di media sosial pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata tiada sesiapa yang cedera dan lelaki itu kini ditahan polis.
Beliau berkata apa yang sebenarnya berlaku ialah lelaki berusia 30 tahun itu didapati dalam keadaan mencurigakan sambil memegang gunting di Bukit Gedung Bayan Baru.
“Suspek juga dalam keadaan meracau dan seorang penduduk di situ mendekati bagi menenangkannya tetapi tidak berjaya malah dia turut mengacukan gunting kepada lelaki berkenaan.
“Lelaki itu cuba merampas gunting dari suspek tetapi tidak berjaya dan suspek melarikan diri hingga ke hentian bas Persiaran Mayang Pasir, Bukit Gedung,” katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata lelaki itu meminta bantuan beberapa penduduk di situ untuk menangkap suspek berikutan tindakannya yang merbahayakan keselamatan orang lain terutama kanak-kanak di kawasan berkenaan.
Anbalagan berkata dalam masa yang sama penduduk di situ menghubungi polis sebelum anggota datang ke kawasan berkenaan dan menahan lelaki itu serta merampas gunting bersamanya.
“Menurut penduduk di situ, ketika mereka cuba menahan lelaki itu, dia melawan dan berlaku pergelutan antara mereka. Berikutan itu, suspek mengalami kecederaan luka di dagu dan bengkak di tangan kanan serta kiri selain bengkak di kaki kiri, “katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu tiada rekod rawatan sakit mental dan ujian awal air kencing mendapati negatif, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Polis masih menyiasat mengapa dia bertindak sedemikian dan saya juga menafikan kejadian itu menyebabkan beberapa orang cedera ditikam lelaki tersebut seperti yang tular di media sosial. Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas video insiden itu dirakam penduduk kawasan berkenaan sebelum mereka memuat naik di Facebook.- Bernama