Utusan Borneo (Sabah)

PRK Cameron Highlands unik, calon wakili semua kaum

-

TANAH RATA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands disifatkan sebagai sesuatu yang unik bagi calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran kerana buat pertama kalinya, keempatemp­at calon yang bertanding mewakili setiap kaum yang ada di tanah tinggi itu.

Manogaran berkata beliau sendiri mewakili masyarakat India, manakala calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor merupakan Orang Asli suku kaum Semai, Orang Asli pertama bertanding dalam pilihan raya di Cameron Highlands.

Dua lagi calon Bebas pada PRK itu ialah bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Salehuddin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee, masing-masing daripada kaum Melayu serta Cina di sini.

“Tapi ini bukan PRK antara kaum, tapi PRK antara parti,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Cameron Highlands di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP negeri Pahang berharap para pengundi di Cameron Highlands akan keluar beramai-ramai menunaikan tanggungja­wab mereka pada PRK kali ini memandangk­an bilangan keluar mengundi di beberapa PRK kebelakang­an ini kurang memberangs­angkan.

“Saya harap semua pengundi akan keluar beramai-ramai, laksanakan hak demokrasi mereka tanpa bimbang atau paksaan, tanpa sebarang amalan rasuah dan jadikannya PRK yang sangat berjaya,” katanya.

Ditanya tumpuannya kali ini, Manogaran berkata beliau akan pergi ke semua tempat dalam Parlimen itu untuk bertemu pengundi dan menerangka­n dasar yang dibawanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berharap pengundi dapat membuat keputusan bijak dan memberi peluang kepada PH untuk mewakili mereka di Cameron Highlands yang disifatkan sebagai kubu kuat BN.

“Buatlah satu keputusan yang bijak untuk pilih calon PH kerana kerajaan negeri daripada BN. Kenapa tak mahu pilih wakil PH kerana kerajaan Persekutua­n adalah daripada PH,” katanya.

Suruhanjay­a Pilihan Raya menetapkan 22 Jan sebagai hari undi awal dan 26 Jan sebagai hari pengundian.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytih­arkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaru­hi pengundi di kawasan itu.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruha­n pengundi yang layak memilih pada PRK kali ini seramai 32,009 orang termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan. -Bernama

 ??  ?? MANOGARAN ketika ditemu ramah pemberita selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah pada Sabtu. -Gambar Bernama
MANOGARAN ketika ditemu ramah pemberita selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah pada Sabtu. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia