Utusan Borneo (Sabah)

Perhilitan Kelantan ambil masa empat jam pindah gajah liar di Jeli

-

JELI: Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa empat jam bagi memindahka­n seekor gajah jantan liar seberat 3.5 tan di Kampung Bukit Selar di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Perhilitan Kelantan Adnan Ismail berkata gajah itu sebelum ini ditangkap Khamis lalu selepas dilaporkan memasuki dan merosakkan tanaman getah dan pisang penduduk kampung terbabit.

“Sebelum ini pihak kami menerima aduan pukul 7 pagi oleh penduduk kampung dan berjaya menangkap haiwan liar itu pada 9.15 pagi pada hari yang sama.

“Gajah itu berjaya ditangkap melalui tembakan pelali oleh anggota Perhilitan Kelantan selepas menerima aduan penduduk di kampung ini yang bimbangkan keselamata­n mereka ketika berada di kebun,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah itu di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memindahka­n gajah tersebut ke Taman Santuari Gajah Sungai Deka, Kuala Terengganu, Terengganu hari ini dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Abot daripada Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.

Adnan berkata operasi pemindahan haiwan itu bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari melibatkan 25 anggota dari Perhilitan Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Beliau berkata pihaknya percaya haiwan liar itu berkumpula­n berdasarka­n penemuan tapak kali lebih daripada seekor yang berada di kawasan ini.

“Kita juga percaya gajah liar tersebut dipercayai daripada kumpulan gajah yang mendiami hutan di Banjaran Titiwangsa berdekatan kawasan itu.

“Awal tahun ini pihak kami telah berjaya menangkap dua ekor gajah liar iaitu pada hari Rabu lepas di Gua Musang dan Jeli,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia