Utusan Borneo (Sabah)

Aku Tanah Air: Malam persembaha­n sajak

- (Artikel sumbangan Nelson Dino)

PESAN nenekku, aku adalah keturunan ombak, laut dan arus. Ombak, laut dan arus itu adalah darah dan jiwamu, kata Omar Musa mendeklama­sikan bait-bait sajaknya di ruang Kota-K, Pekan Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Ruang yang berlantaik­an baluy atau ti

po itu seakan mengajakku pergi belayar di Laut Sulu. Ia sama seperti yang sering aku bayangkan ketika duduk di tepi pantai Bandar Sandakan menulis beberapa bait-bait sajak yang tidak pernah akan siap sehingga aku tutup lembaran buku nota hitamku yang aku pegang.

Baluy dalam bahasa Suluk atau tipo dalam bahasa Bajau yang kedua-duanya merujuk pada tikar pandan hasil tangan para mak cik etnik Bajau Laut di Semporna itu menyembul ke mata bak alur ombak dan arus laut di laut lepas. Melihat pada wajah bentuk, alur dan warna tikar pandan itu sahaja sudah cukup menjadi ruang jelajah keterujaan­ku ke lubuk tanah dan air di ‘Bumi Bawah Bayu’ ini. Ia tidak lain dengan apa yang Omar Musa gambarkan dalam bait-bait sajaknya itu. Seperti Omar Musa, begitu juga aku sebagai anak Suluk.

Hanya sehari sahaja selepas aku menikmati goreng pisang dan kopi O bersama Omar Musa dan Amy Dangin di sebuah kedai kopi, Yee I-Lann ‘mendangin’ aku untuk berkunjung ke studio mereka. Jangan hairan ya, mengapa aku menggunaka­n kata ‘mendangin'. Ia sebenarnya adalah kata yang aku petik dari kata dasar ‘dangin’. Kebetulan pula kata ini sama dengan nama keluarga Amy Dangin. Terdengar sahaja namanya, ‘Aunty Patrin’ pun turut berdering di kuping telingaku. Oleh kerana ‘dangin’ bermaksud ‘mengundang atau menjemput seseorang untuk bekerjasam­a,’ dalam bahasa ibundaku, aku mengambil kesempatan yang diberi itu untuk ‘didangin’. Dan aku turut ‘terdangin’ untuk meneroka erti ‘kerjasama’ di liku-liku seni, budaya dan sastera di Sabah ini demi erti ‘kedamaian’ dan ‘keharonian’ yang tulus.

Dalam kesempatan yang diberi itu, aku, Yee ILann, Adi Hj, Hani Mahdi, Filzah, Phyllis, Yana, Omar Musa dan Datu Fazil terus menelusuri denai otak. Tujuan kami hanya untuk sampai ke satu titik tarikh yang dapat mewalakkan kami di satu ruang untuk bersajak bersama Omar Musa dan Eleonor Goroh. Dan aku pula akan belayar ke Kota Amanillah dan Kota Sambuangan. Oleh kerana ada daripada kami yang akan belayar membawa amanat seni mereka ke luar negara, kesempatan itu juga perlu kami rebut untuk meraikan kehadiraan Omar Musa di Sabah. Anak seni lagu hip-hop dan juga penulis novel, ‘Here Come The Dogs,’ di Australia ini datang untuk merapikan tenunan kain kanditnya menggunaka­n ikatan benang sajaknya dengan Sabah dari jalur ayahnya sebagai anak Suluk-Kedayan, yang juga seorang penyair tempatan yang santer.

Sepakat dengan satu tarikh yang masih belum mendapat kepastian, ‘Aku Tanah Air’, untuk malam persembaha­n sajak itu kami pilih sebagai tema untuk menjadikan ia satu titik noktah yang akan dibenderak­an bersama pada malam acara, ‘spoken words extravagan­za’ itu. Dan Amy Dangin kami persetujui sebagai wajib menjadi hos pada malam penyampaia­n mesej pembuangan muatan bagasi kecetekan tentang tatanan sosial di negeri berbilang etnik ini. Kami seia sekata mengangkat tema ini sebagai satu pernyataan atau statement tentang tanah air yang luas ini sebagai, ‘aku’. ‘Aku’ di sini adalah merujuk pada ‘kebertangg­ungjawaban diri sendiri’ mempertaha­nkan keharmonia­n yang diwariskan oleh leluhur kepada pelbagai etnik di ‘Sabah Tanah Airku’ ini. Di mana sahaja bumi dipijak, di situ langit dijunjung akan sentiasa hidup dan berkembang maju ketika menyairkan lagu keadilan dan kedamaian nanti.

Bercakap tentang ‘tanah air’, satu istilah yang telah diterima dan difahami sebagai sebuah negeri atau negara, maka tidak semporna sesebuah negeri atau negara itu tanpa keduadua unsur ini. Ia tidak akan menjadi bumi kediaman yang aman sebagai satu rantau kepulauan. Dengan ‘tanah air’ ini jugalah para ‘pemburu kepala’ dan ‘pahlawan amfibia’ menikmati hidup yang harmoni dan berkongsi semangat ‘tamu’ sebagai satu masyarakat yang pelbagai untuk bertukar ganti hasil tangkapan laut dan tanaman darat pada hujung minggu, yang cukup dikenali dan diamalkan di Sabah. Tamu ini adalah di mana penduduk pedalaman dan pesisir bertemu untuk bertukar ganti barang, kata Yee I-Lann dalam perbincang­an tentang acara yang dianjurkan.

Oleh kerana acara ‘Aku Tanah Air’ ini sudah ‘setahun’ berlalu maka aku coretkan dan pahatkan kisahnya di sini, di bumi leluhur ini, yang kami kenal sebagai, ‘tanah air’. Sungguh, aku berjanji tidak akan kubantah pesan nenek moyangku, ‘jangan kau hancurkan tanah air ini dengan kekejaman mulutmu, cukuplah engkau menjadi penakut dalam salah dan berani dalam benar,’ yang sama seperti pesan Hani Mahdi pada malam persembaha­nnya pada 10 Disember 2018 itu, ‘ingat, jangan kau hancurkan bumi ini.’

Sambil aku melihat gerak geri tangan Adi Hj, aku juga mendengar suaranya bersajak. Siapapun aku, katanya, aku tetap Anak Dusun. Lalu dengan itu, Eleonor Goroh membawaku ke alam sajak epiknya yang bertajuk ‘solidariti’ selepas dia meniup Sompoton dengan bunyi yang sangat memukau. Sajak epiknya itu juga dideklamas­ikan dengan penuh perasaan oleh Lahir Batin dalam bahasa Suluk, yang dipinta oleh Eleonor Goroh sendiri beberapa bulan lalu untuk aku terjemahka­n.

Sungguh, ‘Aku Tanah Air,’ menghantar aku kembali ke pusara asal usul leluhurku, dan aku sempat dipertemuk­an dengan para penyair, penulis, pengacara dan artis ini dalam acara ini. Bagiku, tanah adalah air dan air adalah tanah untuk menjadi sebuah negeri dan negara yang semporna. Dan aku adalah tanah air itu. Aku merasakan darah di dalam uratku ini sama seperti arus laut yang mengalir di lautan dan air sungai di banjaran. Kemana sahaja mengalir, walaupun warna berubah tetap akan kembali ke warna asalnya.

Walaupun raga Yee ILann tidak berada di sisi kami ketika itu, jiwanya yang dia tinggalkan tetap menjadi satu pengikat kasih untuk kami. Dia bertungkus-lumus membawa kami ke satu ruang seni kebersatua­n jiwa ini. Dan kepada Filzah dan Phyllis, tangan kiriku kuangkat buat kalian untukku memberi tabik hormat kerana membantu dan mengizinka­n kami menggunaka­n ruang studio untuk melaksanak­an acara ini pada malam itu.

Dan kepada Aunty Patrin, walau sudah setahun lamanya, dari tahun lalu lagi, rinduku belum hilang sampai ke hari ini, namun dengan kehadiran Amy Dangin tetap rinduku terubat sudah ketika dia mengungkap­kan frasa, ‘belayar sama-sama. 'Layag Sug’ dengan Omar Musa pada malam itu.

Semoga, seperti doa seorang pelaut, di mana pun aku menjatuhka­n jangkar untuk aku berusaha menangkap ikan untuk ditukar gantikan dengan sayur-sayuran, aku tidak lagi dipandang sebagai orang lain di dalam tanah air, bumi tumpahnya darahku ini. Dan semoga tiada lagi suara kekeliruan yang sampai ke telingaku yang mengatakan aku adalah kelompok manusia yang diangkut dari benua tanah besar, kata seorang petani. Maka itu, aku ini adalah kau, dan akulah Tanah Air, seperti kau yang menghubung­kan darat dengan laut untuk menjadi pewaris bumi ini sebagai warisan dunia. Maka dengan itu, aku tinggalkan kalian dengan bait-bait sajak ini: Benarlah kita hidup damai dan harmoni di tanah air ini tanah air berunsurka­n tanah dan air

Bolehlah aku katakan, asalku dari air dan akan kupulang ke tanah, demi menjawabmu ketika kau bertanyaka­n tentang asalku.

 ??  ?? ANTARA yang berganding bahu menjayakan program itu.
ANTARA yang berganding bahu menjayakan program itu.
 ??  ?? NELSON membacakan puisi pada program itu.
NELSON membacakan puisi pada program itu.
 ??  ?? DARI KIRI: Nelson, Omar dan Amy Dangin.
DARI KIRI: Nelson, Omar dan Amy Dangin.
 ??  ?? AUNTY Patrin memperkata­kan sesuatu.
AUNTY Patrin memperkata­kan sesuatu.
 ??  ?? SUASANA program Aku Tanah Air.
SUASANA program Aku Tanah Air.
 ??  ?? ELEONOR meniup Sompoton.
ELEONOR meniup Sompoton.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia