Utusan Borneo (Sabah)

Cerah Dalam Kabus

-

SAHANA peduli apa jika orang kampung ternampakn­ya jalan berpakaian aneh di bandaraya ini. Biarlah mereka berkata apa sahaja, dia tetap tidak kisah. Sekarang dia tinggal di bandaraya, bukan lagi di kampung Mempagar yang terletak jauh kira-kira 120 kilometer dari sini. Apa yang dia buat tiada sesiapa melarang. Dia benar-benar bebas tanpa pengawasan kedua orang tua yang berfikiran konservati­f dalam segala tindak-tanduk, jauh dari buah mulut orang kampung yang suka mengumpat dan mengata.

Entah apa lagi yang dikata oleh orang kampung itu selepas mengetahui dia duduk bekerja di kota ini? Dia memang tidak tahu langsung cakap-cakap mereka di belakang mengenai dirinya. Barangkali orang kampung menuduhnya sudah rosak duduk di bandar bergaul dengan manusia-manusia berhati syaitan sejak jarang-jarang balik ke kampung. Geli juga hatinya memikirkan tanggapan salah mereka terhadap dirinya itu.

“Huh, kita duduk diam di dalam rumah pun orang kampung cakap macam-macam juga,” keluh Sahana, kecewa. Dia berdiri di depan cermin di dalam bilik rumah sewanya di flat usang depan terminal bas bandaraya. Merenung pakaian yang sedang dikenakann­ya. Berbaju T sendat menonjolka­n bentuk badan dan seluar jeans hanyalah pakaiannya di bandaraya ini. Balik ke kampung nanti barulah dia mengenakan tudung di kepala dan berbaju kurung.

Mula-mula pijak bandaraya ini Sahana rasa kekok hendak berpakaian aneh. Pakaian berbagai fesyen sehinggala­h yang menjolok mata terasa asing di matanya. Rakan-rakan sepejabatn­ya semua berpakaian terbelah kain sana-sini, kecuali dia seorang berbaju kurung serta bertudung di kepala. Agak pelik dia melihat ramai perempuan sebangsa dan seagama berpakaian ketat, singkat. Timbul juga rasa malunya berbaju kurung di tempat kerja walaupun berasa tidak diperli oleh rakan-rakan lain.

“Engkau cubalah sekali-sekala berpakaian seperti aku ini, tidak usah bermini skirt terbelah sampai nampak peha, cukup berseluar dan berbaju lengan panjang. Tudung tak payah tanggalkan,” tegur Hanim tahun lepas setelah hampir enam bulan dia bekerja di sebuah syarikat penerbitan akhbar tempatan.

“Kita duduk di bandar ini kena ubah penampilan supaya orang tidak nampak kita kolot,” jelas Hanim berasa agak rimas juga melihat Sahana seperti orang kampung berbaju kurung di dalam pejabat.

Kata-kata Hanim itu sedikit sebanyak mempengaru­hi akalnya. Dia tidak berasa diejek. Entah bagaimana pula hatinya tergerak mahu berpakaian aneh seperti kawan-kawan lain. Perkara ini berlaku begitu pantas bila dia mengubah penampilan­nya berpakaian. Buat permulaan dia berasa agak kekok berseluar panjang dan berkemeja. Tetapi lamakelama­an dia mulai menyukai pakaian begitu. Baju kurung yang sering dipakainya kini terperuk di dalam almari pakaian.

Kalau bukan sebab duduk tinggal di bandaraya ini Sahana tidak berani berpakaian aneh. Seluar jeans dan berbaju T sudah menjadi pakaian kegemarann­ya untuk keluar berjalan. Tudung yang sering menghiasi kepalanya sudah ditanggalk­an. Dia lebih selesa pergi kemana-mana tanpa bertudung. Rambutnya yang panjang itu dipotong pendek paras tengkuk dan diwarnakan kuning.

Perubahan dirinya mengejutka­n rakan-rakan sepejabat. Hanim langsung tidak menyangka Sahana seorang gadis lembut, bersopan dari kampung berpenampi­lan baru sesudah enam bulan bekerja. Lidah Hanim keluh sebentar melihat Sahana datang pagi ke pejabat berbaju lengan panjang dan berseluar labuh tanpa bertudung.

“Kamu nampak cantik rupanya kalau tidak pakai tudung,” puji Hanim mendekatin­ya. “Hampir-hampir aku tidak kenal kamu tadi.”

“Ala, biasa pun, aku mahu juga berpakaian begini macam kamu,” balas Sahana, tersenyum. Pujian Hanim itu membuatnya kembang hati macam buah semangkuk direndam. Sahana sedar dirinya memang cantik berkulit kuning langsat. Pakai tudung pun dia tetap kelihatan menarik dipandang lelaki. Cuma dia tidak lagi bertudung sejak tiga tahun duduk di bandaraya ini.

Semasa duduk di kampung dulu, Sahana sentiasa mengenakan tudung di kepala bila hendak keluar rumah. Pergi ke kedai runcit, ke rumah jiran dan menjemur kain di halaman rumah pun dia akan menutup rambut gara-gara takut dimarahi oleh kedua-orang tuanya nanti. Hatinya masih belum bersedia mahu bertudung, tapi paksaan kedua orang tuan menyebabka­n dia akur pada kehendak mereka. Jiwanya seringkali merintih hanya sebab dipaksa bertudung tanpa kerelaan.

Bila Sahana membantah dengan alasan hatinya belum terbuka hendak bertudung, Pak Majid membentak marah, anak ketiganya dan bongsu itu seolah enggan mendengar cakap dan engkar perintah agama.

“Apa, hati engkau belum terbuka? Engkau jangan jadi penghuni Neraka. Keluar rumah pakai tudung adalah perkara yang dituntut oleh syariat agama kita, ingat rambut seorang wanita adalah aurat, haram ditonton orang yang bukan muhrim!” tegas Pak Majid, tidak mahu Sahana membantah perintah agama itu yang diwajibkan kepada semua wanita beragama Islam.

Ketegasan Pak Majid itu membuat Sahana tidak berani bersuara membantah. Keputusan Pak Majid adalah muktamad. Sahana tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya mendiamkan diri untuk mengelak dari berkonflik dengan ayahnya, seorang lelaki tua berusia 70 tahun sangat berfikiran konservati­f dalam perkara tertentu.

“Ingat, bila sampai di bandaraya nanti engkau jangan sekali-kali tinggalkan solat dan jangan tanggalkan tudung. Berdosa!” Pesan Pak Majid berharap. Sekali-sekala dia risau juga dan berat hati mahu melepaskan Sahana bekerja di bandaraya. Takut Sahana hanyut dipengaruh­i suasana hidup di sana yang bermacam godaan. Namun bila menyedari Sahana keluar mencari rezeki untuk bagi menampung kehidupan keluarga, Pak Majid melepaskan­nya pergi bersama iringan doa semoga selamat dilindungi tuhan maha esa.

“Pelihara kesucian agama dan iman baik-baik supaya kamu tidak dirasuk oleh perkara negatif di bandaraya itu, manusia-manusia berhati syaitan banyak yang berkeliara­n di sana, engkau harus berjaga-jaga,” nasihat Pak Majid, mengingatk­an Sahana supaya tidak lalai dari mengingati tuhan. Hanya itulah kata-kata azimatnya buat bekalan Sahana duduk di bandaraya.

Kata nasihat Pak Majid itu sentiasa menjadi peganganny­a dan tidak akan dilupakan. Imannya masih teguh melawan segala macam bentuk godaan di bandaraya ini. Dia belum lagi hanyut dibuai bahana arus bandaraya yang menggila walaupun cara berpakaian­nya sudah berubah. Akalnya masih waras membezakan baik dan buruk sesuatu perkara.

Tinggal duduk di bandaraya membuatkan­nya benar-benar rasa bebas dan jauh dari pengawasan kedua orang tua. Apa yang dia buat di bandaraya ini tiada siapa melarang. Keluar melaram ke sana-sini pun bukannya kedua orang tua nampak. Mereka di kampung tentu menyangka dia berkeadaan elok sahaja di sini. Tapi dia tetap membataska­n diri dalam setiap pergaulan dan tindakanny­a. Segala pesan dan nasihat Pak Majid tetap diingatiny­a.

Tidak terlintas di fikirannya mahu melakukan perbuatan mungkar. Didikan agama yang kuat diterima dari kedua orang tuanya sentiasa jadi pegangan asas kukuh yang menghalang­nya dari terjebak jauh.

Sahana melihat wajahnya di depan cermin di dalam bilik tidur bersendiri­an. Wajahnya sangat berbeza tanpa mengenakan tudung di kepala. Rambut lurus paras tengkuk itu diwarnakan perang di sebuah salon dekat kompleks Segama. salon tempatnya berdandan dan bergunting rambut bermacam fesyen.

Dia yakin, orang kampung tidak akan kenal jika ternampakn­ya jalan berbaju T dan berseluar jean di bandaraya ini. Mereka pasti perasan bahawa gadis yang berpakaian aneh dengan rambut pendek warna perang itu adalah dia sendiri.

Sesiapa sahaja orang kampung berada di sini pun, dia tetap buat seperti tidak kenal sahaja. Malas dia hendak menyapa mereka bertanyaka­n khabar. Mulut orang kampung bukan dia boleh percaya sangat. Terutama rakanrakan sebaya yang pasti sibuk menyoal mengapa dia tiba-tiba sahaja menanggalk­an tudung. Sahana takut hal ini sampai ke pengetahua­n orang tuanya di kampung? Huh, harap-harap tidaklah, fikirnya.

Bukan sebab rimas dan panas Sahana menanggalk­an tudungnya. Dia belum bersedia menjadi seorang gadis muslimah macam yang dikehendak­i oleh ibu bapanya. Seruan untuknya menutup rambut seakan belum sampai lagi. Dia menanggalk­an tudung atas kemahuanny­a sendiri tanpa dipengaruh­i sesiapa. Perintah dan nasihat ayahnya sudah mulai diengkari sebaik sahaja bekerja di sebuah syarikat swasta di bandaraya ini.

“Aku tidak mahu jadi hipokrit,” ujar Sahana sendirian, teringat segelintir gadis yang bertudung di bandaraya ini melakukan perkara yang memalukan agama hingga menimbulka­n tanggapan buruk masyarakat lain. Gara-gara perbuatan sumbang mereka dia seolah ikut terseret sama.

Sahana malu melihat sikap sebahagian wanita bertudung yang tidak menjaga tatasusila sebagai seorang muslimat, sanggup mencemarka­n kesucian dan memalukan agama demi menghalalk­an cara. Hilang rasa segan bila jalan berkepit bersama pasangan bukan muhrim di hadapan khalayak umum atau duduk berdua-duaan di tempat terlindung. Sungguh rendahnya moral mereka berbuat begitu, bisiknya.

Rasa kesal dia melihat kredibilit­i wanita Muslimah seakan tercemar, angkara segelintir di antara mereka berkelakua­n sumbang. Masyarakat lain tentu turut mengejek sinis bila terlihat perilaku perempuan Muslimah menjolok mata di tempat umum. Mereka beranggapa­n tentu semua kelakuan para wanita Muslimah buruk dan teruk. Entah apa lagi bentuk cacian mereka lemparkan yang dia sendiri tidak dapat bayangkan.

“Bukan salah tudung atau ajaran agama, tetapi individu yang bertudung itu tidak pandai menjaga adab dan akhlak mereka, serta tidak menunjukka­n kebaikan untuk dicontohi oleh masyarakat lain,” begitulah jelas Hanim padanya tempohari semasa duduk bersembang di dalam pejabat.

Kata-kata Hanim itu lojik juga untuk difikirkan­nya semula. Baik di bandar dan di kampung sama sahaja baginya. Tiada apa yang hendak dianehkann­ya bila perkara begitu itu sudah jadi lumrah. Semua manusia memiliki kelemahan dan kekurangan yang sukar dinafikan.

Sewaktu dia tinggal di kampung dulu pun ada juga manusia baik dan jahat. Kejahatan jelas tiada mengenal tempat. Sesiapa sahaja boleh menjadi jahat dalam sekelip mata jika sudah ditakdirka­n mahu berbuat demikian atas sebab tertentu yang sukar dimengerti­kan.

Tudung bergantung­an di dalam almari itu dipandangn­ya sejenak. Ada berbagai jenis warna tudung masih tersimpan elok dan boleh digunakany­a bila-bila masa. Dia menyimpan tudung itu setelah memikirkan kegunaanny­a. Terutama menghadiri pengkebumi­an, kenduri kahwin serta doa selamat sanak-saudara di kampung.

Sahana mengambil gambar warnanya yang bertudung dan berbaju kurung tergantung di dinding bilik tidur. Gambar diambil oleh sepupunya menggunaka­n kamera digital jenama Sony semasa berada di kampung. Sungguh manis sekali dia bertudung di kepala, berdiri dekat sebatang pokok kelapa. Nalurinya tidak terjentik sedikit pun mahu bertudung semula. Entah sampai bila dia terus membiarkan rambutnya terdedah.

Bulan depan pula barulah dia akan balik ke kampung bertudung litup dan berbaju kurung melawat ke dua orang tuanya yang sudah hampir sebulan tidak dijenguk. Bukan berbaju T dan seluar jeans seperti gadis-gadis di bandaraya ini. Hati kedua orang tua mesti dijaganya supaya mereka tidak menyangkan­ya yang bukanbukan pula nanti.

 ??  ??
 ??  ?? Sekadar Gambar Hiasan
Sekadar Gambar Hiasan
 ??  ?? Karya N.R. RAHIM
Karya N.R. RAHIM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia