Ilau Panawari satupadukan suku kaum Murut di Sabah
PENSIANGAN: Ilau Panawari, satu pesta yang bertujuan menyatupadukan suku kaum Murut suatu ketika dahulu, perlu dianjurkan setiap tahun bagi mengangkat keunikan budaya dan memertabatkan lagi suku kaum berkenaan yang kian pupus.
Penasihat Pesta Ilau Panawari, Matusin Eloh, 61, berkata penganjuran pesta berkenaan amat penting bagi memastikan genarasi muda suku kaum berkenaan mengetahui budaya yang diamalkan oleh masyarakat Murut pada zaman dahulu.
“Memandangkan sudah lebih 40 tahun pesta ini tidak diadakan, jadi ia semakin dilupakan. Maka penganjuran pesta ini pada tahun ini sebagai langkah pertama untuk kita terus menghayati dan meraikan pesta ini setiap tahun,” katanya ketika ditemui semasa pesta Ilau Panawari peringkat Pensiangan 2019, di sini pada Sabtu.
Pesta berkenaan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mengulas lanjut, Matusin berkata sebagai suku kaum Murut beliau sangat berbangga dengan penganjuran pesta berkenaan yang bertujuan untuk memupuk kembali semangat berjuang dan bersaing dalam era kemodenan pada masa kini.
Beliau berkata jika melihat kembali tujuan utama pesta Ilau Panawari yang diadakan pada zaman penjajahan British adalah untuk menyatupadukan masyarakat Murut yang pada ketika itu saling bermusuhan dengan pelbagai peristiwa memenggal kepala dalam kalangan suku kaum berkenaan.
Menurutnya, pada zaman dahulu masyarakat Murut saling bermusuhan sesama sendiri dan berperang akibat daripada persengketaan atau dendam lama.
“Kerajaan British pada zaman penjajahan mengadakan pesta ini untuk menyatupadukan suku kaum Murut pada ketika itu. Oleh itu, kita tidak mahu keunikan sejarah ini dilupakan oleh golongan muda.
“Saya percaya penganjuran semula pesta ini mampu menjadi wadah untuk terus menyatupadukan masyarakat Murut yang kini kebanyakannya berada di Pensiangan, Nabawan, Sook, Keningau dan Tenom,” tambahnya.
Matusin berkata sebagai langkah pertama untuk menjadikan pesta itu sebagai acara tahunan bermula tahun ini, pihak penganjur telah menyediakan satu piala pusingan yang akan diserahkan kepada pihak pegawai daerah dan seterusnya diserahkan kepada pihak yang akan dipilih untuk menganjurkan pesta itu pada tahun hadapan,” katanya sambil menambah piala pusingan berkenaan adalah sebagai satu simbolik penyerahan penganjuran pesta berkenaan.
Katanya, pesta itu disambut secara besar-besaran sejak 1905 namun penganjurannya terhenti apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua dan kemudiannya disambut semula selepas tamatnya perang berkenaan.
Menurut beliau, Ilau Panawari dikatakan berasal daripada bahasa Inggeris iaitu January yang menunjukkan kepada bulan Januari di mana pesta itu diadakan setiap bulan berkenaan pada satu ketika dahulu.Bernama