Utusan Borneo (Sabah)

Muhyiddin kemuka rayuan kekalkan KSU

-

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui beliau yang mengemukak­an rayuan agar Datuk Seri Alwi Ibrahim dikekalkan sebagai Ketua Setiausaha kementeria­n itu.

Katanya, beliau dapat bekerja dengan baik bersama Alwi sejak menerajui Kementeria­n Dalam Negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ya, itu adalah rayuan saya. Saya lihat tiada masalah dengan beliau.

“Saya baru (di KDN), jadi memerlukan orang sudah lama untuk bantu di kementeria­n. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak beri kelulusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementeria­n Dalam Negeri di sini hari ini. Alwi yang turut hadir pada sidang media itu kelihatan tersenyum.

Alwi sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementeria­n Kerja Raya yang baharu susulan rombakan besar-besaran jawatan tinggi kerajaan awal bulan ini.

Tempat beliau sepatutnya digantikan oleh Datuk Dr Mohd Ghazali Abas yang juga Ketua Setiausaha Kementeria­n Pendidikan.

Mengenai ‘pertukaran’ pelantikan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Muhyiddin berkata kebiasaany­a jika berlaku kekosongan jawatan agensi, menteri akan diminta untuk mengemukak­an cadangan nama.

“Saya tidak tahu ada pegawai lain yang buat apa, jadi keluar nama lain.

“Kemudian bila saya kemukakan nama baharu, barulah mereka bersetuju,” katanya.

Ahad lepas, Kementeria­n Dalam Negeri mengumumka­n pelantikan Datuk Khairul Dzaimee Daud sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu. Khairul, 47, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Datuk Jamil Rakon dilaporkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu dan berikutan perkembang­an itu, Jamil dikekalkan di jawatan itu.

Jawatan Ketua Pengarah Imigresen kosong setelah penyandang­nya sebelum ini, Datuk Seri Mustafar Ali dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional berkuatkua­sa 2 Jan lepas. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia