Utusan Borneo (Sabah)

Calon Bebas Wong Seng Yee mulakan kempen di ladang miliknya

-

TANAH RATA: Jika calon lain memulakan kempen sebaik sahaja selesai proses penamaan calon pada Sabtu lalu, peladang bunga kekwa Wong Seng Yee yang bertanding atas tiket Bebas jelas tidak mahu tergesa-gesa apabila hanya memulakan kempennya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Isnin.

Beliau juga memulakan kempen dengan cara yang agak berbeza apabila membawa sekumpulan wakil media ke ladang bunga kekwanya di Habu dekat sini, bagi berkongsi rutin hariannya.

“Beginilah saya setiap hari dan inilah uniform yang saya pakai,” katanya yang tampil berseluar kargo, bertopi mengkuang dengan but kuning “Phua Chu Kang” kepada wakil media.

Menurut pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang hortikultu­r daripada Unversity of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat itu, beliau mengusahak­an ladang kekwa seluas empat hektar sejak 15 tahun lalu sementara keluargany­a terlibat dalam penanaman orkid.

Mengakui beliau membazirka­n dua hari berkempen, Wong, 41 berkata beliau tidak gusar dengan perkara itu kerana manifesto yang dibawanya mewakili suara pekebun di Cameron Highlands dan akan mendekati pengundi dengan kaedah ‘pintu ke pintu’.

Antara isu yang akan dbawa ialah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan ekonomi Orang Asli, katanya yang “patuh” dengan arahan jurugambar dalam beraksi di hadapan kamera.

Wong turut mengakui faktor kewangan akan mengekang pergerakan­nya dan hanya berharap pada sumbangan rakan-rakan untuk membiayai kempen.

“Ya, saya kekurangan kewangan tapi masih OK. Saya nampak beberapa parti (politik) telah pacak banyak bendera. Tapi bagi saya, ia nampak membazir jadi saya tak akan buat macam itu, lagipun saya tidak cukup duit nak berbuat sedemikian,” katanya yang memilih simbol cangkul.

Selain Wong, PRK Parlimen Cameron Highlands turut ditandingi Pakatan Harapan menerusi Timbalan pengerusi DAP Pahang M. Manogaran dan Barisan Nasional yang mempertaru­hkan bekas pegawai polis Ramli Mohd Nor serta seorang lagi calon Bebas Sallehuddi­n Ab Talib.

Suruhanjay­a Pilihan Raya menetapkan 22 Jan ini sebagai hari mengundi awal dan pengundian pula pada 26 Jan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia