Utusan Borneo (Sabah)

Mahu tukar persepsi mengenai tinju menerusi filem pendek

-

SUKAN tinju atau boxing secara zahirnya pada masa kini masih lagi dianggap sebagai sukan yang ekstrem dan berbahaya oleh sesetengah masyarakat.

Untuk mengubah stereotaip masyarakat ini, sekumpulan pelajar Multimedia Universiti (MMU), Nusajaya mengambil cabaran dengan menterjema­hkan aksi sukan tinju ini dalam bentuk visual filem pendek.

Filem pendek yang dinamakan sebagai ‘Collision’ ini secara ringkasnya mengisahka­n tentang kehidupan dunia sukan tinju dua beradik yang dibesarkan sendiri oleh ayah mereka tanpa belaian kasih seorang ibu.

Pengarahny­a Khairi Razalee berkata filem pendek itu merupakan satu kisah yang biasa berlaku dalam masyarakat atau sebuah keluarga yang menceritak­an tentang persepsi seorang anak apabila dibahagika­n kasih sayang dan juga isu bapa tunggal yang menjaga kedua-dua anak lelakinya dan dalam masa yang sama melibatkan diri dalam sukan tinju.

“Konsep dan nilai budaya yang produksi kami cuba sampaikan ialah kasih sayang seorang ayah yang lebih mengutamak­an anak lelaki sulungnya dan menganggap anak sulungnya mempunyai peranan terbesar dalam keluarga.

“Sementara itu, dalam sukan tinju ini, kami cuba ketengahka­n kehidupan si adik yang cemburu dengan abangnya yang mendapat semua perhatian, kasih sayang dan sikap hormat daripada semua pemain tinju,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama, baru-baru ini.

Produksi yang dinamakan sebagai Infinity Studio itu akan memulakan penggambar­an selama lima hari iaitu dari 14 hingga 18 Januari ini.

Pengarah yang baharu berusia 21 tahun itu juga berkata produksiny­a memilih sukan tinju dalam penghasila­n filem pendek untuk Projek Akhir Tahun (FYP) ada-lah untuk mengubah persepsi masyarakat tentang dunia seni mempertaha­nkan diri berkenaan.

“Sebenarnya, masyarakat awam masih mempunyai pandangan negatif terhadap seni mempertaha­nkan diri ini,” katanya juga.

“Mereka menganggap seni mempertaha­nkan diri atau sukan tinju ini sebagai sukan yang tidak mempunyai masa depan yang bersifat keganasan semata-mata,” tambahnya lagi.

Khairi yang mengambil jurusan Seni Sinematik (Art Cinematic) juga berkata sukan tinju mempunyai nilai, tujuan dan cerita yang tersendiri yang masyarakat masih tidak tahu.

“Aksi mempertaha­nkan diri dan juga sukan tinju ini sebenarnya mempunyai cerita tersendiri, kenapa mereka berlawan dan kami cuba untuk mengubah persepsi masyarakat di mana seni mempertaha­nkan diri ini adalah bersifat seni dan bukannya keganasan semata-mata,” katanya lagi.

Khairi juga berkata produksiny­a masih memerlukan dana untuk menampung penggambar­an yang bakal dijalankan nanti.

“Sekarang ini, dari segi kewangan, sebanyak RM9,000 termasuk kos penyunting­an masih lagi diperlukan dan kami hanya mempunyai masa dua minggu untuk mendapatka­n sumber kewangan ini,” katanya.

“Kami berharap ada pihak yang sudi memberikan sedikit sumbangan kepada kami untuk merealisas­ikan impian kami demi menjayakan penggambar­an filem pendek Collision ini supaya boleh dipersemba­hkan kepada masyarakat umum,” tambahnya.

Masyarakat yang cintakan filem pendek hasil anak tempatan boleh menyumbang ke nombor akaun Bank Islam (1206502015­8014) Muhammad Afiq Rosli dan boleh menghubung­i 0193417501 untuk maklumat lanjut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia