Wagner tinggalkan Huddersfield atas persetujuan bersama: Kelab
LONDON: Huddersfield mengumumkan perletakan pengurus David Wagner atas persetujuan bersama kelmarin tatkala kelab itu terpacak di tempat tercorot dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan seri tanpa jaringan pada Sabtu lepas di Cardiff menamatkan siri sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, iaitu satu rekod kelab, tetapi mereka sudah menang hanya dua kali sahaja dalam liga sepanjang musim.
“David Wagner sudah meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Huddersfield Town atas persetujuan bersama,” satu kenyataan kelab menyebut.
“Pengurus berusia 47 tahun itu meninggalkan Town selepas perbincangan terperinci dengan lembaga pengarah, dan kedua-dua pihak bersetuju ini adalah langkah yang betul bagi masa depan kelab.”
Wagner, yang menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun pada Mei tahun lepas, membimbing Huddersfield untuk naik ke liga utama dari liga Kejuaraan dan memastikan mereka terus berada dalam liga utama pada musim lepas.
Pengerusi Huddersfield Dean Hoyle berkata: “Saya mahu bermula dengan mengucapkan terima kasih kepada David di atas segalanya yang dia telah capai di Huddersfield Town sejak tiga setengah tahun yang lalu.
“Di bawah penjagaannya, kami telah mencapai perkara di atas padang bola sepak yang mengatasi segalanya dalam memori moden, dan yang telah berjalan dengan baik melangkaui jangkaan saya yang paling liar sebagai pengerusi dan sebagai penyokong.
“Di bawah pengurusan David, kami membawa kelab ini ke kedudukan tertinggi yang pernah dipegangnya dalam tempoh hampir 50 tahun dan mencipta memori yang akan kekal buat selamalamanya.”
Dia menambah: “Seperti apa yang saya pernah sebut sebelum ini, saya tidak ada hasrat untuk memecat David pada musim ini. Seterusnya David – sebagai seorang lelaki yang hebat – datang kepada kami dan menjelaskan dia memerlukan rehat daripada kesibukan dalam pengurusan bola sepak.”
Hoyle mengesahkan jurulatih bawah 23 Mark Hudson akan menggalas tugas untuk perlawanan liga menentang Manchester City pada Ahad ini.
Wagner menggantikan Chris Powell pada November 2015 selepas dia meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan simpanan Borussia Dortmund.
Dia mengemudi pasukan The Terriers untuk mengelak masalah penyingkiran dan kemudian pada musim penuhnya yang pertama membimbing mereka untuk naik ke EPL pada 2017.
Mereka melabur kira-kira £40 juta (RM240 juta) untuk mendapatkan pemain baharu pada musim panas tetapi pada musim ini terpaksa menunggu sehingga November sebelum mereka memenangi perlawanan pertama mereka dalam EPL pada cubaan ke-11.
Town berada lapan mata di bawah zon selamat di tempat tercorot liga.
Hoyle pernah menyatakan dia tidak akan memecat Wagner, jikapun kelab itu turun ke liga bawah, dan mengingatkan penyokong tentang janji itu pada Oktober lalu.
Pengerusi dan pemilik The Terriers itu menambah: “Selepas perbincangan yang lama, semua kami merasakan bahawa pembabitan David di kelab itu sehingga akhir musim adalah yang terbaik, tetapi kami terus membuka perbincangan dan semua kami kini merasakan masanya adalah tepat untuk berpisah.
“Saya tahu istilah ‘persetujuan bersama’ selalunya adalah kata-kata yang digunakan untuk memecat pengurus dalam bola sepak profesional, tetapi ini adalah satu keputusan yang benar-benar dibuat bersama.” — AFP