Utusan Borneo (Sabah)

Dr Sim ingatkan rakyat agar tidak tunduk dengan parti luar

-

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian mengingatk­an rakyat negeri ini supaya tidak tunduk dengan pemerintah­an parti luar Sarawak.

Berucap di hadapan penyokong dan ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Perpaduan RPR Batu Kawa di sini malam Khamis, Dr Sim berkata selepas lebih 55 tahun, Sarawak akhirnya bebas daripada taklukan parti Semenanjun­g Malaysia.

“Minyak dan gas dari bumi Sarawak adalah hak Sarawak dan bukannya hak Malaysia. Sebab itu, kita kenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum untuk tujuan pembanguna­n infrastruk­tur Sarawak.

“Jadi, sudah cukup kita dikawal oleh parti luar selama lebih 55 tahun ini dan GPS adalah yang terbaik untuk kita di Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Sim bersama ratusan penyokong dan ahliahli GPS dari kawasan N.4 Pantai Damai, N.5 Demak Laut, N.6 Tupong, N.7 Samariang, N.8 Satok, N.9 Padungan, N.10 Pending, N.11 Batu Lintang dan N.14 Batu Kawa menyambut ketibaan Konvoi Jelajah Bendera GPS ke dewan tersebut.

Konvoi diketuai Gerald Rentap Jabu yang juga Ketua Pemuda GPS ke 19 lokasi bermula di Lawas, Limbang, Miri, Bekenu, Bintulu, Mukah, Selangau, Sibu, Kanowit, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Balai Ringin, Serian, Siburan, Bau dan Lundu sebelum ke Batu Kawa malam Khamis.

Semalam, peserta konvoi meneruskan jelajah mereka ke dua lokasi terakhir iaitu Kota Samarahan dan Batang Sadong sebelum pelancaran rasmi malam ini di Stadium Perpaduan di sini oleh Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri F adillah Yu s o f yang turut hadir kelmarin berkata, konvoi itu bukan sahaja untuk memperkena­lkan GPS dan logonya ke seluruh Sarawak, tetapi juga Malaysia dan global.

“Kita mahu nama GPS diharumkan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga Malaysia dan peringkat global selari dengan hasrat GPS untuk meletakkan Sarawak pada kedudukan global,” katanya.

Sehubungan itu, Fadillah mengajak semua ahli GPS yang terdiri daripada empat parti komponen, PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) agar sama-sama berjuang untuk Sarawak.

Pada perhimpuna­n kelmarin, Rentap turut menyerahka­n bendera GPS kepada wakil-wakil pemimpin GPS dari Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Padungan, Pending, Batu Lintang dan Batu Kawa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia