Utusan Borneo (Sabah)

Suntik 18: Karya yang memukau

- (Artikel sumbangan Rodiah haji Said)

FRANZ Kafka pernah berkata; “Sebuah buku haruslah bagai menikam atau mencederai pembacanya. Jika buku itu tidak membangunk­an kita dengan suatu jolokan di kepala, untuk apa kita membacanya.” Ungkapan ini mungkin sesuai untuk dijadikan alat cetusan dalam menukangi apa jua genre karya sehingga karya itu benar-benar dianggap sebagai karya berdaya saing.

Suntik 1/2019 kali ke18 yang diadakan pada 5 Januari 2019 lalu turut mencetuska­n sesuatu kepada khalayak. Dengan kehadiran Pengarah baharu Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) Aminah Awang Basar serta wakil Pengarah Pendidikan Negeri Muarifin Susianto Mochoero - Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akedemik, amatlah kami hargai dan sesungguhn­ya ia mencetuska­n suatu nadi semangat baharu dalam melayari bahtera suntik untuk jangka waktu lebih panjang.

Sesi penilaian puisi dimulakan oleh penilai undangan Marmoh Kasman. Beliau merupakan penyair prolifik yang tidak asing lagi di Sabah dan penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) sebanyak tiga kali termasuk yang terbaru pada HSS 2016/2017 bagi kategori puisi.

Seperti penilai sebelumnya yang memilih aspek tertentu sebagai kayu ukur dalam menilai karya yang tersiar. Beliau pula memilih pendekatan formalisti­k dalam meneliti karya yang terbit sepanjang bulan Disember 2018.

“Puisi terdiri dari pelbagai komponen atau bahagian yang membina karya berkenaan,” ujarnya. Beliau turut menyatakan bahawa penelitian dibuat terhadap bagaimana komponen itu diolah, diadun dan dibina di dalam puisi. Ia melihat bagaimana penulis merangka dan menyusun komponen berkenaan sehingga menjadikan puisi itu tampak bermutu dan mempunyai estetika yang tinggi seterusnya mampu memukau khalayak.

Pendekatan formalisit­ik merupakan penelitian terhadap puisi berdasarka­n aspek intrinsik semata-mata. Katanya lagi, ia bertujuan untuk melahirkan objektivit­i penciptaan karya itu sendiri kerana sebuah puisi tidak dinilai berdasarka­n aspek-aspek diri penulis, latar belakang penulis, pendidikan dan sebagainya. Dan semuanya tertakluk pada hukum puisi itu sendiri seperti pemilihan tema, persoalan, bentuk, nada, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.

Beliau mengatakan puisi-puisi sepanjang bulan Disember 2018 menampilka­n kepelbagai­an tema dan persoalan serta pengucapan yang beragam. Perkara ini mungkin disebabkan kesungguha­n penyair dalam usaha mengangkat idea yang lahir dari fikirannya secara berseni kepada khalayak. Namun hanya beberapa puisi yang beliau fokuskan kerana memiliki stuktur yang mantap dan mesej yang kuat berbanding yang lain.

Seperti Puisi Pilihan Suntik 1/2019 bertajuk ‘Di Sini’ (Tribute To Maharani Dowager) oleh Nazeka Kanasidena (Utusan Borneo). Puisi ini mengisahka­n tentang keruntuhan sebuah negara agung angkara ketamakan pemimpinny­a. Penyair merakamkan penghormat­an terhadap ketokohan yang dimiliki oleh Maharani Dowager sebagai tokoh yang berkuasa dan penuh karisma sebagai pemerintah di zaman dan tamadunnya di China, namun kerana fahaman yang konservati­f dan pentadbira­n yang kukuh besi serta tidak berperikem­anusiaan menyebabka­n ia akhirnya menerima kekalahan dan kejatuhan.

Puisi ini menimbulka­n banyak persoalan terutama kekejaman pemimpin dalam memenuhi impian peribadi dan sebagainya. Diolah dengan bentuk yang bebas dan mencakupi semua aspek formaliti itu sendiri. Karya ini memberi suatu jolokan yang mampu direnungi pembaca agar mengambil iktibar setiap peristiwa sejarah kejatuhan bangsa lain. Seperti sebahagian bait puisi tersebut;

Sesudah bentrokan Antara gasar dan sekian kembara kuasa

Di sini di balik ratusan dahagi Manchu mewarisi takdirnya yang kelam

Akhir dari sekian kekalahan Penyerahan demi kemerdekaa­n Kematian demi kebangkita­n Gulat dalam keresahan Ia kemudian menyerah takhta Menghakiri sebuah tradisi berabad

Sesi kedua diteruskan bersama penilai undangan seterusnya merangkap kru suntik sendiri iaitu Ruhaini Matdarin. Penulis Sabah yang tidak asing lagi diperingka­t negeri dan kebangsaan.

“Ada apa dengan karya yang memukau?”soalnya membuatkan khalayak tidak sabar menanti setiap perkongsia­nnya dalam penilaian cerpen kali ini.

Beliau mengetenga­hkan sistem permarkaha­n mengikut beberapa kategori seperti bahasa, kejituan makna, idealisme dan ideologi, kelancaran naratif serta kemampuan memukau bagi karya-karya sepanjang Disember 2018 yang dilihat saling bersaing dengan kekuatan masing-masing di dalam karya.

“Pembacaan sangat mempengaru­hi kita untuk menghasilk­an karya bermutu tinggi yang mampu memukau pembaca,” sambungnya lagi. Beliau menyatakan penulis yang sering membaca karya-karya yang menang anugerah ataupun sayembara mampu mengolah karya lebih baik. Ujarnya intro cerita juga amat penting untuk memancing pembaca menghayati sesebuah karya sehingga ke akhir cerita. Dan aspek itu turut dinilai di dalam 15 buah cerpen yang tersiar sepanjang bulan Disember 2018.

Seperti Cerpen Pilihan Suntik 1/2019 – ‘Angin Sebagai Saksi’ oleh DK Mastura PG Ismail (DE). Karya ini bersifat didaktik namun tidak berkhutbah kepada pembaca. Gaya bahasanya menari dan ini turut mengingatk­annya kepada gaya bahasa pengarang Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Plot cerita bermula apabila penduduk kampung terperanja­t beduk tiba-tiba berbunyi setelah surau di kampung itu begitu sepi. Mereka menyangka roh Imam Wahid yang datang mengganggu. Kemudian plot berpindah ke segmen lain yang bercerita tentang Nabi Adam a.s melaksanak­an subuh pertama.

Seterusnya penulis bijak meletakkan unsur konflik dan imbasan di dalam cerita dengan menghadirk­an watak Raman berusaha memastikan azan terus berbunyi di kampung yang dikeliling­i orang yang leka mengejar dunia. ‘Aku’ menyaksika­n kampung itu dilanda ombak besar (tsunami) dan Raman masih berdiri tegak di tengahteng­ah bencana, menghadap arah kiblat sedangkan manusia lain lari lintang pukang menyelamat­kan diri. Di dalam cerpen ini, penulis meninggalk­an persoalan kepada pembaca iaitu siapakah sebenarnya aku? Dan ini antara karya yang mampu memukau pembaca, membuatkan kita larut bermula ayat pertama sehingga akhir cerita.

Acara diteruskan dengan persembaha­n deklamasi puisi yang turut memukau hadirin oleh saudara Ismail Duah, Dayangku Siti Afizah (Pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 2017) dan Datuk Hj Jalidar Abd Rahim. Acara diakhiri dengan penyampaia­n sijil dan hadiah saguhati kepada penilai dan pengkarya terbaik Suntik oleh Muarifin Susianto Mochoero.

Sekali lagi kru Suntik mengucapka­n ribuan terima kasih kepada pihak DBPCS, penilai undangan, para penulis dan semua yang terlibat. Suntik 2/2019 (19) akan diadakan pada 09 Febuari 2019 (Sabtu) di SIDMA College, Jalan Bundusan, Kota Kinabalu.

 ??  ?? SEBAHAGIAN penulis yang hadir merakam gambar kenangan bersama Aminah (duduk empat dari kiri) dan penilai undangan pada program Suntik ke-18.
SEBAHAGIAN penulis yang hadir merakam gambar kenangan bersama Aminah (duduk empat dari kiri) dan penilai undangan pada program Suntik ke-18.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia