Utusan Borneo (Sabah)

KEMBALI STATUS WILAYAH

Shafie yakin Kabinet sudah luluskan usul

- Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Kabinet sudah meluluskan usul bagi mengembali­kan status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah.

Beliau berkata, usul yang akan dibentangk­an oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (UndangUnda­ng) Datuk VK Liew pada bulan depan itu juga sudah termaktub dalam perlembaga­an.

“Perkara ini sudah kita bincang dengan Yang Berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semasa pertemuan kami mengenai MA63 dan sebahagian perkara yang dibangkitk­an berkaitan status kedudukan negeri Sabah sebagai wilayah.

“Kita sudah lama tunggu dan YB (Mahathir) pun memberi ruang untuk berbincang dengannya... dia juga membantu kita. Kita harap semua rakyat juga akan menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baharu Cina Tanjung Aru, di sini pada Ahad.

Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah percaya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengotakan janji untuk tidak bertapak di negeri ini.

Katanya, parti Warisan dan Bersatu diibaratka­n sebagai adik-beradik yang tidak memiliki perbezaan, cuma keahlian yang berlainan kaum sahaja.

“Kita juga harus sedar sokongan Warisan banyak dari pantai barat dan timur adalah daripada golongan bumiputera, tetapi ini tidak bererti golongan bukan bumiputera tiada.

“Cuma, kita adalah sebuah negeri yang sudah stabil. Kita punyai 45 kerusi dan saya harap mereka (Bersatu) akan turuti apa yang sudah dijanjikan,” katanya.

Terdahulu, semasa berucap merasmikan rumah terbuka itu, Shafie mengajak rakyat di negeri ini supaya terus bekerjasam­a bagi mencapai hala tuju kerajaan.

Katanya, hala tuju itu termasukla­h berkaitan usaha membangunk­an negeri ini dari pelbagai aspek serta mempertaha­nkan hak rakyat di negeri ini dari dijajah oleh pihak luar.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Datuk Dr Jaujan Sambakong, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong dan Penyelaras Parti Warisan Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Awang Ahmad Sah Sahari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia