Utusan Borneo (Sabah)

Dana asing RM138.6 juta masuki pasaran ekuiti

Aliran dana asing itu dicatatkan walaupun dalam persekitar­an faktor luaran yang tidak menentu: Pakar Ekonomi

-

KUALA LUMPUR: Pelabur asing merupakan pembeli bersih dalam pasaran ekuiti Malaysia apabila menyuntik sejumlah RM138.6 juta bagi tempoh Isnin hingga Khamis lalu berbanding RM146.8 juta pada minggu sebelumnya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata aliran dana asing itu dicatatkan walaupun dalam persekitar­an faktor luaran yang tidak menentu.

“Jangkaan bahawa Kadar Dana Rizab Persekutua­n Amerika Syarikat (AS) mencecah kemuncak pada 2.50 peratus berkemungk­inan besar telah mendorong kemasukan dana asing untuk meninjau aset pasaran negara sedang pesat membangun.

“Prospek pertumbuha­n global juga ternyata agak lemah berdasarka­n Indeks Pengurus Pembelian Global (PMI) barubaru ini bagi sektor pembuatan yang susut kepada 50.7 mata pada Januari berbanding 51.5 mata pada Disember 2018,” katanya kepada Bernama.

Namun, Mohd Afzanizam berkata pasaran tenaga kerja AS terbukti kukuh berdasarka­n pengumuman data Penggajian Bukan Perladanga­n bagi Januari serta upah lebih tinggi yang turut melangkaui jangkaan awal.

Malah, perkembang­an itu, katanya, dijangka menggalakk­an pihak Rizab Persekutua­n AS (Fed) untuk meneruskan usaha memperketa­t aspek monetari apabila kadar inflasi terus meningkat.

“Jika itu berlaku, ini mungkin memberi kesan kepada aliran modal dan pasaran mata wang,” katanya.

Sementara itu, penganalis­is MIDF Research Adam M Rahim berkata Januari 2019 menyaksika­n aliran masuk bersih asing sebanyak RM1.03 bilion iaitu aliran masuk bulanan pertama sejak September tahun lepas.

Menurutnya, peningkata­n purata nilai dagangan harian (ADTV) mingguan sebanyak 21 peratus ke paras melebihi RM1 bilion bagi minggu kedua berturuttu­rut, juga amat ketara membabitka­n pelabur asing.

Bagi tempoh minggu yang baru berakhir ini juga tidak menyaksika­n sebarang pengumuman penting korporat manakala pasaran tempatan ditutup selama dua hari pada 5-6 Feb lepas bersempena cuti Tahun Baharu Cina.

Pada Jumaat, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan dengan menokok 2.99 mata kepada 1,686.52 berbanding 1,683.53 pada Khamis lepas.

Pasaran tempatan juga ditutup pada 1 Februari lepas bersempena cuti Hari Wilayah Persekutua­n.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan pula berpendapa­t peningkata­n kecil aliran dana asing itu menunjukka­n Malaysia berada dalam kedudukan untuk seiring dengan negara lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Sentimen pasaran bagaimanap­un, kekal berhati-hati berikutan kebimbanga­n terhadap cabaran akibat pertikaian dagangan AS-China yang berlanjuta­n serta pertumbuha­n global.

“Kerajaan perlu menggalakk­an penyertaan lebih ramai pelabur asing dalam usaha menyuntik dana asing ke dalam negara ini,” katanya.

Pada 8 Februari lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pelabur antarabang­sa kini yakin dengan potensi ekonomi Malaysia selain faktor keupayaan kerajaan memacu kemajuan ekonomi.

Menurutnya, Malaysia juga kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pelabur selain komitmen kerajaan terhadap aspek prinsip kecekapan, kebertangg­ungjawaban dan ketelusan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia