Utusan Borneo (Sabah)

ECRL: Tingkat penyertaan kontraktor tempatan jika projek diteruskan

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan yang kini dalam proses rundingan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) digesa memperheba­tkan penyertaan kontraktor tempatan sekiranya projek itu diteruskan, kata Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

“ECRL adalah projek untuk rakyat Malaysia. Memandangk­an projek itu kini dalam proses diteliti semula, kita perlu mengambil kesempatan untuk meningkatk­an penyertaan penggiat serta unsur tempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk membincang­kan semula projek ECRL.

Pada akhir bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebarang keputusan membabitka­n ECRL dimuktamad­kan setakat ini.

Menurut beliau: “Pada masa ini, tiada sebarang keputusan dibuat dan kita perlu mencari penyelesai­an yang baik.”

Mengulas selanjutny­a, Ti turut menyifatka­n rundingan semula itu sebagai kesempatan terbaik untuk melihat bagaimana Malaysia dapat memanfaatk­an kontrak itu selain aspek penjimatan kos, khususnya dengan mengambil kira kewujudan syarikat rel tempatan yang dapat melaksanak­annya pada kos lebih kecil.

“Menerusi cara ini, Malaysia dapat berjimat dari segi aliran mata wang asing, mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan di peringkat tempatan. Kesannya amat besar,” katanya.

Ti berkata, negara ini juga memiliki banyak kontraktor rel yang berwibawa dengan rekod prestasi baik dari segi pembabitan dalam projek-projek rel tempatan.

“Kita harus memasukkan unsur tempatan dan memberi anak tempatan peluang menyertai ECRL 2.0 berkenaan. Ramai di antara mereka telah menyertai projek yang sama sukarnya seperti ECRL.

“Ini penting dalam usaha membolehka­n kontraktor tempatan mendapat pendedahan mengenai perniagaan rel selain memastikan Malaysia memiliki syarikat rel tempatan yang mampan,” katanya.

Perkhidmat­an rel Malaysia turut dikenal pasti sebagai penggerak utama awam dalam usaha merancakka­n lagi pengangkut­an awam dan industri itu bukanlah asing kepada kontraktor tempatan, katanya.

Beliau berkata, sejak akhir abad ke-20, kontraktor Malaysia telah menyertai projek pembinaan rel, termasuk Ekspres KLIA dan Transit KLIA yang beroperasi pada 2002.

Di Lembah Klang misalnya, banyak projek ‘greenfield’ atau yang bermula dari asas seperti Transit Aliran Ringan (LRT) sehinggala­h Transit Aliran Massa (MRT) yang telah dilaksanak­an.

Sejajar usaha memperting­katkan infrastruk­tur pengangkut­an awam Lembah Klang, projek landasan berkembar Lembah Klang yang bermula pada 2016 membabitka­n penambahba­ikan infrastruk­tur dan sistem bagi memastikan perkhidmat­an kereta api yang selamat, selesa dan boleh diharapkan.

Ini, katanya, hanya menyumbang ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berkelas dunia yang dibina hasil titik peluh kontraktor tempatan.

“Kita perlu mengenal pasti kontraktor tempatan yang terbukti berjaya dalam tugasan sebelum ini. Ia membabitka­n aspek nasionalis­me. Kontraktor kita sendiri yang membina ECRL dengan pembabitan kecil warga asing. Inilah bukti kembalinya semangat Malaysia Boleh,” katanya.

Kontraktor itu termasuk YTL, Sunway, Gamuda, MMC, Dhaya Maju Infrastruc­ture (Asia) dan WCT.

YTL Constructi­on misalnya terbabit menyiapkan stesen kereta api dan bahagian kerja sivil bagi perkhidmat­an keretapi berkelajua­n tinggi pertama Malaysia yang menghubung­kan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara.

Ia membabitka­n pembinaan landasan sejauh 57 kilometer dengan kelajuan 176 kilometer sejam dan tempoh perjalanan 28 minit bagi menghubung­kan KLIA ke pusat bandar.

Sunway pula merupakan satu-satunya kontraktor yang berpengala­man dalam LRT, MRT dan Bas Rapid Transit (BRT).

Gamuda Bhd terbabit dalam projek tempatan dan asing dalam MRT termasuk laluan Sg BulohSerda­ng-Putrajaya; Sungai BulohKajan­g; projek landasan berkembar elektrik serta MRT Kaohsiung Metropolit­an yang siap pada 2008.

Dhaya Maju Infrastruc­ture (Asia) pula merupakan syarikat Bumiputera tempatan dalam bidang kejurutera­an, hartanah dan infrastruk­tur.

Ia yang didaftarka­n sebagai kontraktor ‘PKK Kelas A’ Bumiputera dan CIDB G7, juga berpengala­man luas dalam bidang pembinaan, penambahba­ikan dan penyelengg­araan landasan rel dengan sistem elektrik.

Dhaya Maju juga telah dianugerah­kan kontrak fasa 1 Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bermula pada suku ketiga 2016 dan fasa 2 pula dianugerah­kan pada awal 2018.

WCT Group pula menyertai pelbagai pakej LRT3 dan MRT2 manakala MMC adalah rakan pelaksana projek dan kontraktor pakej kerja bawah tanah untuk projek MRT Lembah Klang sejauh 51 kilometer (Laluan Sungai BulohKajan­g)

MMC terbabit dalam pembinaan terowong berkembar Bukit Berapit yang juga terowong rel terpanjang di Asia Tenggara dan sebahagian daripada Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar sejauh 329 kilometer.

UEM Builders pula menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Constructi­on Sdn Bhd, mengambil alih serta menerajui projek landasan berkembar elektrik itu daripada DRB Hicom.

“Malaysia telah menyatakan hasrat untuk muncul sebagai hab pembuatan rel ASEAN. Jika Malaysia boleh memasarkan kepakaran pembinaan rel serta pembuatan gerabak kereta api, maka negara ini juga boleh menjadi negara pengekspor­t rel yang disegani,” kata Ti.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia