Utusan Borneo (Sabah)

Ekopelanco­ngan ubah nasib suku Temiar Kampung Yum

-

HUTAN bagi masyarakat Orang Asli adalah khazanah yang tidak ternilai dan lubuk rezeki mewah sejak sekian lamanya.

Namun keadaan hidup semakin hari semakin sukar apabila penerokaan tanah untuk pertanian dan aktiviti pembalakan yang berleluasa menjejaska­n sumber pendapatan hasil hutan mereka.

Bagi kelangsung­an hidup, mereka perlu mengurangk­an kebergantu­ngan kepada hutan seperti yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Yum, terletak sekitar 60km dari pekan Sungai Siput.

Mereka mengorak langkah berani dengan menerokai bidang ekopelanco­ngan. Chalet Pos Yum yang baharu dibuka pada Ogos 2018 adalah bukti usaha gigih penduduk kampung yang semakin bersemanga­t meneroka bidang keusahawan­an.

Bukan sahaja mereka berubah dalam melihat peluang ekonomi yang lebih luas daripada bergantung semata-mata kepada hasil hutan tetapi juga sikap serta pemikiran yang semakin berkeyakin­an untuk berinterak­si dengan masyarakat luar.

Kenali Pos Yum

Perjalanan ke Pos Yum dari pekan Sungai Siput dengan kenderaan mengambil masa lebih kurang satu jam. Sebelum ini jalan tanah merah menjadi penghubung ke beberapa perkampung­an Orang Asli di kawasan sekitar.

Namun sejak Febuari 2018, jalan tersebut dinaik taraf kepada jalan bertar. Ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat orang Asli tetapi juga pengunjung yang datang tanpa perlu lagi menaiki pacuan empat roda.

Di Pos Yum sendiri terdapat lima buah kampung iaitu Kampung Yum, Kampung Pendeq, Kampung Mangyes, Kampung Kutai dan Kampung Beswok dengan penduduk lebih kurang 800 orang.

Dalam perjalanan ke Pos Yum, penulis melihat beberapa lokasi pengumpula­n balak yang mencacatka­n pemandanga­n sekeliling yang menghijau dengan alam semula jadi yang cukup indah.

Ketika memasuki simpang ke Chalet Pos Yum, kami juga perlu melalui rumah penduduk Kampung Yum yang dibina di bawah Program Pembanguna­n Bersepadu Perkampung­an Orang Asli. Sehingga ini terdapat lebih 250 penduduk di Kampung Yum.

Desiran air Sungai Yum yang mengalir sebaik memasuki pintu gerbang chalet cukup mendamaika­n ditambah dengan pemandanga­n sekitar yang menyejukka­n mata dengan pelbagai pokok buahbuahan di sekeliling­nya.

Kawasan sekitar chalet juga amat bersih sehingga tidak ada sampah yang kelihatan.

Gotong Royong Bangunkan Chalet

Menampilka­n ciri ringkas masyarakat Orang Asli Temiar, chalet yang dibina diperbuat daripada buluh, pokok bertam dan juga rotan. Semua bahan tersebut diambil daripada hasil hutan di kawasan sekitar kampung.

Menurut Tok Batin Pos Yum, Pandak Liong, 48, Chalet Pos Yum dibangunka­n di bawah koperasi penduduk Kampung Yum yang dipengerus­ikan oleh beliau sendiri.

Bermula dengan dua buah chalet yang siap pada bulan April 2018, kini Chalet Pos Yum mempunyai 14 buah chalet yang diusahakan secara gotong royong melibatkan 30 orang penduduk tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sesetengah keperluan perbelanja­an, sebagai contoh membeli paku dan alat-alat pertukanga­n, dikutip daripada penduduk kampung yang sama-sama terlibat dalam membina chalet berkenaan.

Pertambaha­n jumlah chalet itu disebabkan permintaan pengunjung yang meningkat setiap bulan, katanya.

“Chalet ini beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2018 dan hingga kini tidak kurang 2,000 pengunjung telah menginap di sini,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut tentang chalet yang menjadi kebanggaan masyarakat Orang Asli Temiar, pada asalnya kawasan chalet ini merupakan kampung yang didiami penduduk Kampung Yum sebelum berpindah ke rumah yang dibina kerajaan.

Kata beliau, setelah berpindah sekitar tahun 2003, bekas kawasan kampung seluas kira-kira 0.8 hektar itu menjadi terbiar.

Pada awal tahun lepas, mereka membina sebuah pondok di tepi sungai untuk dijadikan tempat rehat orang-orang kampung

“Apabila pondok itu siap, ada orang dari sekitar Sungai Siput datang meminta izin untuk berkelah dan menginap di pondok itu. Sejak itu semakin ramai pula yang datang pada hujung minggu.

“Saya lihat ada potensi kawasan ini untuk dimajukan sebagai kawasan rekreasi dan mula berbincang dengan penduduk kampung untuk membangunk­annya,” kata Pandak.

Anyaman Kelarai Pada Dinding Chalet

Untuk dua buah chalet terawal, masa yang diambil untuk menyiapkan pembinaann­ya mengambil masa lebih kurang dua bulan.

Mereka perlu mencari rotan, bertam dan buluh di hutan. Daun bertam dijadikan atap, pelepah bertam, buluh dan rotan pula dijadikan dinding dan lantai manakala tiang menggunaka­n kayu.

Terdapat dua buah chalet menggunaka­n anyaman kelarai daripada bertam, katanya.

“Salah seorang ahli koperasi kami berkeboleh­an menganyam bertam. Dia membantu membuat anyaman kelarai untuk dinding chalet. Manakala chalet lain menggunaka­n buluh dan rotan untuk dinding dan lantai,” katanya sambil menambah, ada pelbagai motif bunga boleh dihasilkan dalam anyaman kelarai tersebut seperti bunga timun dan bunga perah.

Faktor kesuntukan masa menyebabka­n tidak semua chalet yang dibina menggunaka­n anyaman kelarai daripada pokok bertam walaupun bahan itu lebih tahan lama.

Kemudahan asas lain yang disediakan di sini antaranya tandas sebanyak empat buah, ruang memasak dan pondok ruang makan terbuka di tepi sungai. Semua chalet mempunyai bekalan letrik sementara bekalan air diperolehi dari Sungai Yum.

Pengunjung juga boleh berkhemah di kawasan sekitar chalet tetapi perlu membawa kelengkapa­n sendiri.

Bagi mempelbaga­ikan aktiviti pengunjung yang datang, mereka turut menyediaka­n aktiviti seperti menyumpit, belajar memasak di dalam buluh dan juga tarian sewang.

Menambah Jumlah Chalet

Menurut Pandak, chalet ini hanya dibuka pada hujung minggu pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kecuali cuti persekolah­an dan cuti perayaan yang dibuka sepanjang hari.

“Pada hari biasa orang bekerja jadi tak ada yang datang. Hari minggu memang ramai lebih-lebih lagi musim cuti sekolah dan cuti berkembar,” katanya.

Mereka yang ingin menginap di chalet ini perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal. Kadar sewa chalet antara RM60 hingga RM80 semalam. Pihak yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubung­i Batin Pandak 019-5527936.

Bagaimanap­un, beliau berkata ketiadaan dewan orang ramai sedikit sebanyak menjejaska­n terutama untuk menerima tempahan berbentuk seminar.

Beliau telah mengemukak­an permohonan bantuan secara lisan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu yang datang ke chalet ini ketika merasmikan Program Kembara Prihatin Majlis Senator Malaysia pada 11 Januari lepas.

Menurut Pandak, Menteri Besar telah memberi maklum balas positif untuk membantu membina dewan tersebut yang berharap dapat dibangunka­n untuk kegunaan pengunjung dan penduduk kampung.

Pada tahun 2019 ini, beliau dan koperasi akan berusaha menambah lagi 16 buah chalet menjadikan kesemuanya 30 buah chalet.

Beliau menambah, buat masa ini pernigaan yang dijalankan belum mendapatka­n keuntungan kerana hasil yang diperolehi digunakan untuk dijadikan modal pusingan dan kos operasi.

“Kita sasarkan dalam tempoh dua tahun untuk mendapat keuntungan, “katanya.

Beliau yang berwawasan tinggi berkata membangunk­an chalet ini adalah langkah awal untuk masyarakat Orang Asli di sini berdikari tanpa mengharapk­an bantuan pihak lain.

“Kalau kami masuk hutan, pendapatan tidak menentu. Lebih baik kami usahakan chalet seperti ini yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

“Banyak manfaatnya apabila chalet ini dibuka terutama dapat mengubah pemikiran masyarakat di sini menjadi lebih terbuka apabila mereka bergaul dengan pengunjung luar yang datang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia