Kementerian Kesihatan tidak pernah lulus herba cegah denggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) tidak pernah meluluskan sebarang produk herba dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam denggi, zika atau chikungunya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian menerima aduan mengenai produk herba yang diiklan melalui media sosial dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam denggi.
Dr Noor Hisham dalam kenyataan pada Rabu menegaskan semua pengiklanan bagi produk yang berdaftar dengan PBKD perlu mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU), Kementerian Kesihatan sebelum disiarkan kepada orang awam.
“Tindakan undangundang boleh diambil terhadap iklan ubat yang disiarkan tanpa kelulusan LIU di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Selain mengambil langkah pencegahan denggi yang berpunca daripada nyamuk Aedes, kementerian menasihatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, ruam, loya, muntah atau gejala amaran awal seperti muntah berterusan, sakit perut atau keletihan.
Sebarang maklumat berkenaan produk ubat yang meragukan boleh disalur kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pautan https://www.npra.gov.my/ index.php/public-enquirycomplaints/contactus atau menelefon talian 03 7883 5400 atau emel npra@npra. gov.my.-