Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka cecah paras 3.8 berbanding dolar AS menjelang akhir 2019

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka naik secara beransur-ansur untuk sekali lagi melepasi paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS, dan meneruskan aliran meningkat kepada 3.80 menjelang akhir 2019, menurut RHB Research.

Peningkata­n rizab forex Malaysia dan langkah Rizab Persekutua­n (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk tidak menaikkan kadarnya memberikan sokongan kepada mata wang tempatan.

Rizab forex Malaysia naik AS$700 juta kepada AS$102.1 bilion pada 31 Januari, 2019, selepas susut AS$600 juta pada Disember 2018.

“Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkat kepada 3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir 2019, juga disebabkan kelemahan dolar berikutan Fed AS dijangka menangguhk­an langkah untuk menaikkan kadarnya susulan wujud tanda-tanda pertumbuha­n ekonomi AS akan lebih perlahan,” kata firma penyelidik­an itu dalam nota semalam.

Merujuk kepada angka Bank Negara Malaysia, katanya peningkata­n rizab forex dijangka dipacu oleh pengumpula­n lebihan secara berterusan dalam akaun semasa, manakala portfolio pelaburan mengalami penguranga­n aliran keluar dana, disokong oleh aliran masuk bersih ke dalam pasaran ekuiti dalam tempoh itu.

Katanya rizab forex juga dijangka meningkat bulan ini didorong oleh peningkata­n akaun semasa dan penguranga­n aliran keluar portfolio.

Ringgit naik 0.8 peratus berbanding dolar AS kepada 4.0770 pada minggu pertama Februari, selepas meningkat 0.7 peratus pada Januari.

Mata wang tempatan dibuka tinggi pagi semalam (9 pagi) pada 4.0650/0700 berbanding dolar AS daripada 4.0770/0800 pada penutupan jam 6 petang Selasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia