Utusan Borneo (Sabah)

Aliran dana asing RM1 bilion ke dalam pasaran ekuiti Malaysia pada Januari

-

KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti Malaysia menyaksika­n aliran masuk dana asing bersih sebanyak RM1 bilion pada Januari 2019 selepas tiga bulan berturut-turut merekodkan aliran keluar manakala pegangan asing ke atas ekuiti meningkat kepada 23.5 peratus daripada 23.4 peratus pada Disember 2018.

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank Malaysia (UOB Malaysia), Julia Goh berkata aliran masuk asing yang kembali semula ke dalam ekuiti pada Januari adalah seiring ringgit yang lebih kukuh serta aliran portfolio bukan pemastauti­n yang masuk semula ke dalam pasaran pesat membangun.

“Kami berpendapa­t pendirian Rizab Persekutua­n Amerika Syarikat (AS) (Fed) yang lebih cenderung kepada kadar faedah rendah menunjukka­n kesabaran mereka untuk kenaikan kadar faedah seterusnya, serta memberi petanda bahawa Fed mungkin mengekalka­n kadar faedah tidak berubah sehingga Jun 2019.

“Bagaimanap­un, ketidakten­tuan mungkin berterusan didorong laporan dan acara semasa dalam keadaan pertumbuha­n dan permintaan global yang lembap,” katanya dalam satu nota penyelidik­an kelmarin.

Mengenai prospek ringgit, Goh berkata mata wang tempatan mungkin berada antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat sebelum bergerak kepada 4.15 dan 4.18 pada pertengaha­n dan akhir 2019, masing-masing, disokong oleh kenaikan kadar faedah Fed pada Jun dan Disember.

Beliau berkata dalam jangka pendek, ringgit dijangka disokong oleh pemacu pertumbuha­n domestik yang stabil, pembaharua­n dasar secara berperingk­at dan lebihan akaun semasa yang kukuh.

“Ringgit kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan jaminan selamat ketika pilihan raya di beberapa negara serantau pada separuh pertama 2019,” katanya.

Mengulas rundingan perdaganga­n antara AS dan China, Goh berkata bank itu menjangkak­an tempoh rundingan antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu dilanjutka­n dengan tarif dikekalkan pada status quo.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia