Lebih 40 peratus spesies serangga mungkin pupus tidak lama lagi
ANKARA: Lebih 40 peratus spesies serangga boleh pupus dalam tempoh beberapa dekad akan datang, lapor agensi berita Anadolu memetik satu kajian baharu.
Kajian bertajuk “Worldwide decline of the entomofauna: A review of its drivers,” tulisan Francisco SanchezBayo dari Universiti Sydney dan Kris Wyckhuys dari Akademi Sains Pertanian China itu mendedahkan bahawa satu pertiga daripada spesies serangga berdepan ancaman serta kemerosotan jumlahnya mungkin mendatangkan satu kesan “katastrofik” terhadap bumi.
Kajian itu - yang diterbitkan dalam jurnal Biological Conservation – mengatakan kadar kepupusan serangga ialah 2.5 peratus setahun, menunjukkan bahawa ia mungkin lenyap dalam tempoh seabad.
Para saintis memberi amaran bahawa kehilangan habitat semula jadi, penggunaan racun perosak dan baja di ladang serta pelepasan sisa dari kilang dan bandar adalah “pemacu utama” kemerosotan itu manakala spesies invasif serta perubahan iklim merupakan punca tambahan.
Laporan itu menyebut kadar kepupusan serangga ialah lapan kali lebih cepat berbanding unggas, mamalia dan reptilia sambil menambah bahawa Lepidoptera, order serangga yang merangkumi rama-rama dan kupu-kupu; Himenoptera, yang terdiri daripada lalat gergaji, penyengat, lebah dan semut, serta Koleoptera yang terdiri daripada kumbang tinja, adalah spesies paling terjejas.
Serangga, sumber makanan bagi kebanyakan spesies seperti unggas dan mamalia, amat penting kepada ekosistem bumi serta kitaran hidupan liar.
Para saintis terbabit menggesa agar tindakan pantas diambil bagi menghalang pelupusan besar-besaran ini daripada berlaku.