Utusan Borneo (Sabah)

Ketiadaan akses ke gudang simpanan makanan Red Sea Mills di Yaman ‘satu tragedi’: PBB

-

NEW YORK: Ketiadaan akses ke gudang simpanan makanan Red Sea Mills yang terletak di pelabuhan utama Hudaidah oleh pekerja kemanusiaa­n adalah “satu tragedi,” lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan jurucakap setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pada Selasa.

“WFP (Program Makanan Dunia) masih belum mendapat akses ke Red Sea Mills, yang sebenarnya adalah satu tragedi,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat rutin.

“Secara asasnya ia membabitka­n satu perempat daripada stok gandum mingguan WFP yang boleh memberi makan sejumlah 3.7 juta orang,” kata beliau.

“Hakikatnya kita masih tidak dapat mengaksesn­ya. Hakikatnya ia berisiko dicemari... sama ada oleh binatang perosak, reput atau sebagai-nya. Tarikh akhir penggunaan ialah 2020, tetapi apa yang jelas dalam rangka kerja disebut ia perlu dipantau serta diawasi, dan itu bukan kesnya di sini. Jadi ia adalah satu risiko yang tinggi.”

Pada Khamis, wakil kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabang­sa dan Ansar Allah, nama rasmi pejuang pemberonta­k Huthi, telah mencapai satu persetujua­n tentatif berkaitan pengundura­n tentera bersama dari bandar serta pelabuhan Hudaidah selain pembukaan saluran kemanusiaa­n.

Para perunding kemudian membawa balik “kompromi awal” itu kepada pemimpin masing-masing.

Dujarric berkata PBB kini menunggu maklum balas kedua-dua pihak.

Leftenan Jeneral Michael Lollesgaar­d dari Denmark, yang mempengeru­sikan rundingan itu di atas sebuah kapal di pelabuhan Hudaidah, berkata beliau menjangka untuk mengadakan semula rundingan dalam minggu ini.

PBB dan rakan kongsi kemanusiaa­nnya sedang berusaha mendekati sejumlah 12 juta orang di Yaman dengan bantuan makanan kecemasan, kata Dujarric.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia