Utusan Borneo (Sabah)

Anggota polis didakwa salah guna harta PDRM lebih RM90,000

-

MELAKA: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Khamis atas tujuh pertuduhan menyalahgu­nakan harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kad inden bernilai lebih RM90,000, dua tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Nur Baderyshah Matasum, 34, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan terhadapny­a dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mohd Nur Baderyshah, didakwa dengan curang menyalahgu­nakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM ‘Kad Smart Pay’ bagi mendapatka­n wang tunai berjumlah RM90,422.90 di Stesen Minyak Petronas Kelemak, Alor Gajah dekat sini, antara 1 Mac dan 30 Sept 2017.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangk­an Mohd Nur Baderyshah, seorang Lans Koperal polis dikenakan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Azrul Zulkifli Strok merayu agar dikurangka­n jaminan atas alasan gaji anak guamnya telah digantung sejak ditahan SPRM dan dia perlu menanggung lima anak serta bapanya yang sedang uzur.

Hakim Mohd Nasir kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia