Festival filem Berlin sentuh mengenai perubahan iklim
SELARI dengan sifatnya sebagai festival filem dengan kesedaran sosial, Berlinale pada bulan ini mempamerkan beberapa dokumentari perubahan iklim yang tidak takut memberi amaran tentang kelakuan manusia yang menyebabkan kemusnahan dan pada waktu yang sama mencadangkan beberapa penyelesaian.
Di antara kemuncak festival Berlin adalah ‘Anthropocene: the Human Epoch’ yang difilemkan selama tiga tahun di enam benua, dengan penggambaran panorama yang menakjubkan untuk menunjukkan cara-cara manusia mengubah landskap mereka dengan dahsyat dan kadang-kadang menakutkan.
“Kita telah mencapai waktu yang luar biasa dalam sejarah planet. Manusia sekarang menjejaskan Bumi dan prosesnya lebih daripada gabungan semua kuasa semula jadi lain,” kata pengarah filem itu yang berasal dari Kanada, Jennifer Baichwal.
Daripada tembok laut konkrit yang dibina untuk memelihara kawasan pantai China hingga kepada moonskap berlubanglubang yang disebabkan oleh lombong arang batu di Jerman, paras laut yang semakin tinggi di Venice dan penebangan hutan di Nigeria, filem itu menyinari lampu limpah yang tidak memaafkan ke atas jejak kaki manusia di atas planet ini.
- Selera yang tidak pernah puas Seruan
bagi kesedaran yang semakin tinggi dibuat ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan pada minggu lepas bahawa masa sejak empat tahun lalu adalah masa yang paling panas dalam rekod, didorong oleh peningkatan dalam pengeluaran gasgas rumah hijau buatan manusia.
Statistik lain yang mengejutkan mendedahkan bahawa aktiviti manusia telah mengepam lebih 390 bilion tan pengeluaran karbon yang mengubah iklim ke dalam atmosfera sejak Revolusi Perindustrian, manakala jumlah plastik yang dihasilkan telah melonjak daripada dua juta tan setahun pada 1950 kepada sekitar 300 juta pada hari ini.
Walau bagaimanapun, keraguan mengenai perubahan iklim masih wujud dengan pemimpin seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Jair Bolsonaro dari Brazil yang meragui tanggungjawab manusia bagi pemanasan sejagat.
Namun negara yang mengakui impak manusia, seperti Jerman, juga bergelut untuk mencapai sasaran bagi mengurangkan pengeluaran karbon dioksida.
Dalam ‘Earth’, pembuat filem dari Austria, Nikolaus Geyrhalter, memberi tumpuan kepada selera yang tidak pernah puas bagi sumber alam semula jadi dengan mengalih lensa kritis ke atas alat-alat yang digunakan untuk mengubah geologi dunia, seperti mesin perindustrian raksasa yang digunakan untuk mengorek tanah atau meratakan gunung demi kepentingan pelombongan.
“Kita tertanya-tanya apa yang orang akan fikirkan dalam masa 40 atau 50 tahun dari sekarang tentang perkara yang kita buat pada hari ini,” kata Geyrhalter, yang turut mengarah dokumentari industri makanan pada 2005 ‘Our Daily Bread’, di Festival Filem Berlin.
“Teknologi maju lebih cepat daripada orang dapat faham.”
Dalam ‘Earth’, dia mengetengahkan kesilapan alam sekitar yang berlaku di sebuah lombong garam lama di Wolfenbuettel, tengah Jerman, yang diubah menjadi tapak untuk menyimpan sisa nuklear pada zaman 1970an.
Selepas penduduk diberi jaminan bahawa tindakan itu selamat sama sekali, ia muncul beberapa dekad kemudian bahawa pakar telah memandang rendah risiko pencemaran air bawah tanah, yang mencetuskan perbalahan politik dan saintifik selama bertahun-tahun mengenai cara terbaik untuk menutup tapak tersebut.
- Surat kepada masa depan Selain
kesuraman itu, festival Berlin turut menawarkan dokumentari eko yang memberi pandangan yang lebih menaruh harapan mengenai masa depan.
Filem ‘2040’ daripada pengarah Australia, Damon Gameau, yang disajikan sebagai surat visual kepada anak perempuannya yang berusia empat tahun, menerokai bagaimana rupa dunia pada masa depan yang terdekat jika orang menggunakan amalan dan teknologi terbaik yang sudah sedia ada untuk menyelamatkan planet ini – dan bertanya kepada kanak-kanak tentang perubahan yang mereka ingin lihat.
Penyelesaian yang dicadangkan adalah daripada lebih banyak tenaga solar dan kereta elektrik hingga kepada usaha menghijaukan kota, bercucuk tanam di laut, dan mengurangkan ketidaksamarataan.
Untuk mencapai perkara ini, “ia memerlukan usaha yang amat besar sekali daripada semua lapisan masyarakat”, kata Gameau kepada AFP di festival itu.
“Kita tahu bahawa 50 peratus pengeluaran gas datang daripada tujuh peratus populasi yang paling kaya dan 71 peratus pengeluaran gas datang daripada hanya 100 syarikat sahaja. Mungkin ini dapat mengecilkan fokus kita,” ujar Gameau, yang mencipta nama dengan ‘Sugarland’ pada 2014 tentang kesan gula yang tersembunyi dan berbahaya ke atas badan kita.
Turut memilih untuk memberi gambaran yang lebih optimis mengenai cara untuk menangani masalah planet adalah ‘The Biggest Little Farm’, yang menampilkan usaha pengarah dari AS John Chester dan isterinya Molly untuk mengubah sebidang tanah yang dilanda kemarau dan kononnya tidak subur dekat Los Angeles menjadi sebuah ladang yang mampan dan berkembang maju – dengan sedikit lawak ringan daripada Emma Si Khinzir dan Greasy Si Ayam Jantan.
Gambaran yang menyentuh hati mengenai sepasang idealis yang mencari keseimbangan dengan alam semula jadi, dan pancaroba yang mereka alami dalam usaha itu, mengemukakan kes bagi pertanian mesra alam dan penternakan haiwan yang bebas daripada racun perosak dan dadah.
“Sudah tentulah saya tidak rasa bahawa kita sahaja atau mana-mana satu ladang sahaja dapat mengubah krisis iklim. Namun saya rasa jika setiap daripada kita memainkan peranan kita bagi ekosistem, maka itu akan menjadi cara kita menyelesaikan masalah itu,” kata petani dan pembuat filem itu.