Utusan Borneo (Sabah)

Perpaduan dasar terbaik bawa pembanguna­n mampan kepada Sarawak

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg percaya perpaduan adalah dasar terbaik untuk membawa pembanguna­n yang mampan kepada Sarawak yang kaya dengan adat dan budaya masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat Sarawak mempertaha­nkan perpaduan yang sedia ada dengan memelihara persefaham­an dan sikap hormat menghormat­i antara satu sama lain yang terjalin sejak sekian lama lagi.

“Kita sangat memahami antara satu sama lain, inilah nilai yang penting kepada Sarawak.

“Malah, Allahyarha­m (Pehin Sri) Adenan Satem pernah berkata bahawa masyarakat Cina di sini bukan pendatang, mereka adalah seperti rakyat Sarawak lain yang telah lama tinggal bersama di sini sejak dahulu lagi.

“Apa yang Allahyarha­m Adenan maksudkan di sini bahawa kita di Sarawak telah lama hidup bersatu dalam keadaan harmoni.

“Sarawak adalah model perpaduan, seperti Tahun Baharu Cina kita raikannya secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Persatuan Persatuan Hakka Sarawak 2019 di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua No.3, Jalan Padungan di sini malam Sabtu.

Majlis itu merupakan anjuran bersama lima pertubuhan Hakka iaitu Persatuan Hakka Sarawak, Persatuan Masyarakat Taipoo Kuching, Persatuan Hopoh Sarawak, Persatuan Masyarakat Kaying Kuching dan persatuan Fui Tung Onn Kuching.

Abang Johari memberitah­u, kerjasama itu menunjukka­n semangat perpaduan antara persatuan dengan masyarakat­nya.

“Hakka bersatu dan kaum lain di Sarawak juga bersatu, ini dapat menyumbang kepada perpaduan rakyat Sarawak keseluruha­nnya,” tambahnya.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, kerajaan negeri turut menawarkan subsidi penerbanga­n kepada anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Semenanjun­g, Labuan dan Sabah untuk pulang meraikan perayaan bersama keluarga di sini.

Jelasnya, dengan perkahwina­n campur yang ramai di negeri ini, adalah tidak menjadi masalah untuk anak Sarawak pulang ke negeri ini menggunaka­n subsidi tersebut bagi meraikan dua perayaan dalam tempoh setahun.

“Jika keluarga kamu campuran Cina dan Iban, kamu boleh mendapatka­n subsidi RM300 untuk pulang meraikan Tahun Baharu Cina dan RM300 lagi untuk pulang meraikan Hari Gawai Dayak,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia