Utusan Borneo (Sabah)

Pengarah kedai perabot bebas tuduhan rogol, diarah bela diri seks luar tabii

-

KOTAKINABA­LU: Seorang pengarah kedai perabot dapat menarik nafas lega selepas dibebaskan atas pertuduhan merogol seorang pekerjanya pada dua tahun lalu.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu terhadap Tsen Seong Hock, 47, setelah pihak pendakwaan gagal membuktika­n kes prima facie terhadap tertuduh yang diwakili peguam Ram Singh.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 19 tahun pada waktu kejadian, pada 23 Ogos 2017 jam 12.30 tengah hari di sebuah kedai perabot Batu 4.5, Jalan Tuaran di sini.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Bagaimanap­un Azreena berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap tertuduh, atas tuduhan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Mahkamah menetapkan tertuduh membela dirinya pada 27 Mac untuk pertuduhan terbabit.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, melakukan kesalahan itu pada 21 Ogos 2017 jam 3 petang di tempat sama.

Hukuman yang diperuntuk­kan jika sabit salah boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua kes berkenaan ditutup pada peringkat akhir pendakwaan pada 10 Januari, selepas lapan saksi dipanggil memberikan keterangan.

Tertuduh mula didakwa pada 5 Februari tahun lalu dan mengaku tidak bersalah.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah memberikan tertuduh ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan untuk setiap pertuduhan.

Dalam pada itu Ram memaklumka­n pihak pembelaan akan memanggil dua saksi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia