Utusan Borneo (Sabah)

Kontraktor didakwa menipu, guna dokumen palsu

-

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menipu seorang wanita dan menggunaka­n dokumen palsu untuk urusan pembelian kereta.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan pengurusan kes pada 27 Mac terhadap Abdul Rodzan Abdul Karim, 39, selepas mengaku tidak bersalah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu Seyri Rasid, 27, bahawa boleh menguruska­n pinjaman bank bagi mendapatka­n keluaran kereta model D-Max 2.5 atau Triton Quest.

Akibat terperdaya mangsa menyerahka­n wang sebanyak RM2,000 kepada tertuduh pada 1 Oktober 2018 jam 2 petang di Restoran Anjung Rasa, Puterajaya Telipok, Tuaran.

Jika sabit salah boleh dikenakan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, kerana dengan curang menggunaka­n dokumen palsu.

Dia menggunaka­n sebagai tulen penyata akaun, salinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), slip pembayaran dan slip gaji atas nama Seyri dan Mursidi Dul.

Hukuman yang boleh dikenakan jika didapati bersalah, penjara selama tempoh dua tahun dan boleh dikenakan denda.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Aaron Augustin memohon sejumlah ikat jamin yang rendah diberikan kepada tertuduh kerana perlu menanggung empat anak.

Mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan dicagarkan dua penjamin tempatan, selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali dalam dua bulan.

Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin bertindak untuk pihak pendakwaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia