Utusan Borneo (Sabah)

Skala gaji permulaan graduan TVET perlu diteliti: Manyin

-

KUCHING: Kerajaan perlu meneliti skala gaji permulaan kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang bekerja di sektor awam jika mahu bidang berkenaan terus mendapat tarikan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kini graduan TVET sama ada pemegang sijil atau diploma ditawarkan dengan gaji yang terlalu rendah di kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Kebanyakan graduan TVET lebih memilih untuk bekerja di sektor swasta tetapi ramai juga kalangan mereka mahu bekerja di sektor awam tetapi gaji mereka terlalu rendah.

“Bukan itu sahaja mereka juga bermula pada Gred N29 dan N32 yang mana mereka tidak dapat dinaikkan ke Gred N41, saya merasakan ada keperluan untuk kita meneliti perkara ini.

“Ini kerana mereka harus diberi peluang untuk naik ke Gred N41 dan seterusnya, jika kita mahukan bidang TVET terus menjadi tarikan anak-anak muda sebagai pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium TVET 2019 anjuran kementeria­nnya bersama Pusat Pembanguna­n Kemahiran Sarawak (PPKS) yang disempurna­kan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, pada Selasa.

Tambah Manyin, hasil kajian daripada graduan TVET mendapati kebanyakan mereka ditawarkan gaji permulaan yang terlalu rendah berbanding yang lain.

Katanya, kebanyakan daripada graduan berkenaan menjangkak­an gaji RM1,500 dan RM2,000 sebaik sahaja mendapat pekerjaan.

“Ia adalah antara aduan yang diterima daripada graduan dan juga pihak industri, di mana graduan menerima gaji terlalu rendah.

“Sementara penggaji atau industri pula menyatakan mereka tidak mampu membayar gaji sedemikian kerana mahu melihat sumbangan atau kebolehan graduan terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu Manyin turut berharap lebih banyak industri berkaitan menjalin kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang kemahiran seperti TVET.

Kerjasama itu ujarnya, bukan sahaja menjadi tempat latihan industri tetapi penempatan sepanjang tempoh pengajian.

Contoh model yang digunakan di negara Jerman di mana para pelajar dalam bidang TVET diberi masa tiga hari di industri dan dua hari di universiti atau institusi sepanjang lima tahun pengajian.

“Mereka dibayar 1,000 mata wang negara itu setiap bulan dan perkara seperti ini yang kita mahu laksanakan di negeri ini.

“Namun menyedari masih banyak industri kita berada pada skala kecil maka kita mungkin boleh menggunaka­n pendekatan seperti kerjasama daripada aspek menyediaka­n kemudahan serta kakitangan ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapannya berkata, sejak penubuhann­ya pada 1994, PPKS menyediaka­n pendidikan vokasional dan teknikal industri berkaitan bagi melengkapk­an tenaga kerja dalam bidang berkenaan kepada kerajaan.

Malahan katanya, PPKS telah bekerjasam­a rapat dengan pihak berkepenti­ngan seperti kerajaan dan agensinya untuk mentransfo­rmasikan TVET di Sarawak.

“Di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya, TVET kini semakin meningkat dari segi kepentinga­nya dan kerajaan serta penyedia TVET giat untuk membangunk­an tenaga kerja dalam bidang ini.

“Bagi PPKS, sebagai penyedia kepada TVET, kami menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan serta agensinya dalam usaha melahirkan tenaga kerja dalam bidang ini,” katanya.

Simposium yang diadakan bermula 19 hingga 21 Februari itu menyaksika­n 23 penceramah jemputan dari Malaysia dan luar negara mengetenga­hkan isu berkaitan TVET.

Hadir sama Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidik­an Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia