Utusan Borneo (Sabah)

Orang Islam perlu lapor kepada KDN

Berhubung penjualan al-Quran resam Majid

-

KUALA LUMPUR: Orang Islam yang mendapati alQuran resam Majid masih dijual di pasaran hendaklah sentiasa tampil membuat laporan kepada Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) untuk diambil tindakan selanjutny­a, kata Setiausaha Bahagian Penguatkua­saan dan Kawalan kementeria­n, Mohd Nawardi Saad.

Versi al-Quran berkenaan tidak diluluskan oleh KDN kerana cara pembacaan dan pencetakan­nya tidak sama dengan cara resam Uthmani yang dipakai di negara ini.

“Cara pembacaan dan pencetakan adalah menurut sistem lama yang digunakan di Pakistan dan India dan kita dapati al-Quran jenis ini masih ada dengan meluas di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Beliau menjelaska­n bahawa hanya al-Quran al-Karim resam Uthmani dengan kelulusan KDN sahaja boleh digunakan di negara ini, di mana ia mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan AlQuran memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul,” dan KDN juga memasukkan ciri baru - kod QR dan hologram.

Mohd Nawardi menambah bahawa tidak timbul masalah sekiranya seseorang itu mempunyai al-Quran berkenaan untuk kegunaan sendiri, tetapi menjualnya kepada orang lain adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Cetak Teks AlQuran 1986, di mana seseorang yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Beliau berkata, dalam operasi baru-baru ini di Sungai Petani, Kedah sebanyak 178 naskhah al-Quran dirampas.

KDN mendapati modus operandi dalam kalangan penjual bagi membawa al-Quran itu dari negara jiran adalah dengan mencampurk­annya dengan barang lain dan mengisytih­arkannya sebagai buku agama.

Beliau berkata, bahagian beliau masih mengawasi penjual yang disyaki menjalanka­n perniagaan itu secara terbuka di pasaran dan dalam media sosial.

KDN juga mengendali­kan pemeriksaa­n yang kerap di pejabat pos, kedai dan pintu sempadan untuk menangani isu berkenaan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia