Utusan Borneo (Sabah)

Utusan PBB nampak ‘kemajuan ketara’ dalam pelaksanaa­n perjanjian Stockholm di Yaman

-

NEW YORK: Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman berkata terdapat “kemajuan ketara” dalam kalangan puak bertelagah di negara itu dalam melaksanak­an Perjanjian Stockholm, lapor agensi berita China Xinhua memetik jurucakap badan dunia itu pada Selasa.

“Martin Griffiths telah memberi taklimat kepada Majlis Keselamata­n melalui sidang video pagi ini berhubung apa yang beliau sifatkan sebagai terdapat kemajuan ketara dalam melaksanak­an persetujua­n yang telah dicapai di Stockholm,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Griffiths menyambut baik kata sepakat yang telah dicapai berhubung penempatan semula tentera kedua-dua pihak – mula-mula dari Saleef dan Ras Issa, kemudian dari pelabuhan Hudaidah – sebagai langkah pertama,” kata Dujarric kepada pemberita dalam satu taklimat rutin.

“Griffiths berkata meskipun tarikh akhir telah terlepas, kedua-dua pihak sentiasa menunjukka­n komitmen mereka terhadap perjanjian itu.”

Jurucakap itu berkata Griffiths meneruskan usaha berhubung proses pertukaran tahanan.

“Kata laluan untuk proses ini ialah pembebasan semua untuk semua.”

Dujarric berkata Griffiths “berharap pembebasan kumpulan pertama tahanan dapat dilakukan tidak lama lagi.”

Hudaidah merupakan bandar pelabuhan utama Laut Merah, dengan Saleef mengendali bijirin manakala Ras Issa mengendali minyak. Kesemua lokasi dikuasai pemberonta­k Houthi dan ini telah menghalang akses kemanusiaa­n.

PBB dan rakan kongsi kemanusiaa­nnya telah merayu dana sebanyak AS$4.2 bilion untuk membantu sejumlah 19 juta rakyat Yaman yang memerlukan, kata Dujarric.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaa­n dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Mark Lowcock dalam taklimatny­a kepada Majlis Kese-lamatan badan dunia tersebut pada Selasa berkata kira-kira 80 peratus penduduk Yaman, atau kira-kira 24 juta orang, memerlukan bantuan kemanusiaa­n dan perlindung­an manakala 20 juta memerlukan bantuan untuk mendapatka­n makanan, termasuk 10 juta orang yang berada di ambang kebuluran.

Perjanjian yang dicapai di Stockholm pada Disember 2018 menyatakan bahawa kerajaan Yaman dan pemberonta­k Houthi perlu mengundurk­an tentera masing-masing dari bandar Hudaidah dan pelabuhan Hudaidah, Saleef dan Ras Issa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia