Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan perkenal Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri untuk abilimpik

-

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkena­lkan kategori pertanding­an abilimpik bagi orang kurang upaya (OKU)) yang berkemahir­an dalam Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini pemilihan peserta bagi anugerah tahunan sejak 1991 itu hanya melibatkan individu yang memenangi pertanding­an kemahiran peringkat antarabang­sa tetapi bukan dalam kalangan OKU.

Justeru, katanya, anugerah berkenaan adalah pengiktira­fan tertinggi bagi tenaga mahir OKU yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Abilimpik merupakan satu pertanding­an kemahiran pekerjaan dan vokasional yang direka khusus untuk golongan OKU.

“Kita mahu mengangkat dan mengiktira­f abilimpik supaya setara sepertiman­a pengiktira­fan yang diberikan kepada peserta pertanding­an kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabang­sa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pertanding­an Kemahiran Malaysia di sini, Rabu.

Beliau berkata anugerah itu juga dapat membantu mempromosi­kan latihan kemahiran dalam kalangan OKU, seterusnya membuka lebih peluang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi.

Mahfuz berkata secara dasarnya kementeria­n telah bersetuju untuk melaksanak­an anugerah itu namun perlu memperinci­kan beberapa perkara kerana pertanding­an kemahiran untuk OKU berbeza dengan pertanding­an lain.

Beliau berkata pertanding­an abilimpik diadakan empat tahun sekali manakala pertanding­an kemahiran di peringkat kebangsaan dan dunia diadakan setiap tahun.

Dalam pada itu, Mahfuz yakin sasaran Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama dapat direalisas­ikan pada Pertanding­an Kemahiran Dunia (WSC) di Kazan, Rusia dari 22 hingga 27 Ogos ini.

Katanya berdasarka­n persiapan dan motivasi yang dipamerkan, beliau yakin 23 peserta yang akan bersaing dalam 23 bidang kemahiran mampu menjayakan sasaran tersebut. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia