Utusan Borneo (Sabah)

Dua perjalanan ke Pulau Langkawi sebelah pagi batal, Terminal Feri Kuala Kedah sesak

-

ALOR SETAR: Susulan dua waktu perjalanan pada sebelah pagi ke Pulau Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah dekat sini dibatalkan mulai Khamis hingga Sabtu, ia menyebabka­n keadaan sekitar terminal berkenaan sedikit sesak dengan orang ramai pada Jumaat.

Tinjauan media mendapati orang ramai perlu menunggu lama sehingga menjangkau tiga jam untuk ke pulau itu, dan ada antara mereka tidur di lantai disebabkan kepenatan sementara menantikan feri tiba kerana tidak mengetahui waktu perjalanan 8.30 dan 9.30 pagi dibatalkan ekoran air surut.

Penyelia Operasi Ferry Line Ventures Kuala Kedah Ahmad Azizan Aziz berkata keadaan menjadi agak sesak apabila perjalanan penumpang pada dua waktu itu perlu ditukarkan ke 10.30 pagi manakala bagi penumpang yang ingin menaiki feri pada 10.30 pagi, jadual mereka terpaksa dianjak pula ke 1.30 tengah hari berikutan penumpang sudah penuh.

“Ia menjadi sedikit sibuk sebab penumpang bagi waktu perjalanan 8.30 dan 9.30 pagi akan naik pada 10.30 pagi, jadi bagi mereka yang tidak tahu tentang pembatalan ini, akan sampai seawal 9.30 hingga 10 pagi untuk menaiki feri yang 10.30 pagi ini, ia akan jadi ramai menunggu ke belakang.

“Kalau normal ‘trip’ kita ada 10 waktu perjalanan sehari sehingga pukul 7.00 malam, tetapi disebabkan air surut ini, kita ada 8 ‘trip’ sahaja. Air surut ini sehingga (paras) 0.2 meter. Bagi feri beroperasi, ia memerlukan sekurang-kurangnya (paras) 1.0 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di terminal itu.

Ahmad Azizan berkata terminal itu sedikit sesak juga disebabkan Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu di Kedah berbanding hari biasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia