Utusan Borneo (Sabah)

Bapa didakwa dera anak kandung sehingga cedera di badan, kaki

-

KUALA LUMPUR: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan mendera anak perempuann­ya berusia empat tahun sehingga cedera di bahagian badan dan kaki.

Tertuduh berusia 32 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Lelaki, yang bekerja sebagai pengurus akaun di syarikat miliknya, didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada kanakkanak perempuan itu sehingga menyebabka­n kesan kecederaan di bahagian badan dan kaki mangsa di sebuah rumah di Sentul pada 12.30 tengah malam, 3 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana bimbang tertuduh akan mendera mangsa lagi.

“Kecederaan yang dialami mangsa sangat serius maka pendakwaan tidak menawarkan jaminan,” katanya.

Bagaimanap­un, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan kerana dia penanggung tunggal keluarga dan isterinya tidak bekerja.

“Saya sudah berbaik dengan isteri dan saya kini tinggal dengan anak. Anak pun saya jaga. Anak tidak mahu makan jadi saya hukum untuk didik anak,” katanya.

Mahkamah tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia