Utusan Borneo (Sabah)

Lebih banyak inisiatif akan dibuat kerajaan PH bantu rakyat: Muhyiddin

-

SEMENYIH: Lebih banyak inisiatif akan diumumkan kerajaan dalam membantu dan menangani masalah rakyat, selain langkah untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang diumumkan pada Sabtu.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PH sedang meneliti beberapa inisiatif termasuk berhubung kos sara hidup, harga getah dan kelapa sawit dalam tempoh tidak lama lagi.

“Mereka (pembangkan­g) mengatakan kita (kerajaan) tidak buat apa-apa. PH ini macam tidak kisah masalah rakyat, tidak tahu penoreh getah tak dapat duit cukup, kelapa sawit harga jatuh, kemudian soal harga barangan naik dan pelbagai lagi.

“(Sedangkan) dalam (mesyuarat) Kabinet minggu lepas kita bincang apa inisiatif-inisiatif baru yang kita nak buat supaya rakyat tidak terbeban termasuk dalam soal disebutkan,” katanya ketika berucap pada majlis Rapat Rakyat Semenyih di tapak padang permainan pangsapuri Baiduri Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma di sini, malam Ahad.

Sebagai contoh, beliau berkata terdapat cadangan untuk menaikkan harga getah bagi membantu golongan berkenaan.

“Kerajaan belum memutuskan lagi, minggu depan ada mesyuarat Kabinet, kita nak bawa perkara ini,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakyat perlu menunggu sedikit masa sahaja lagi untuk kerajaan mengumumka­n inisiatif yang bakal diperkenal­kan.

Katanya rakyat tidak seharusnya termakan dengan dakwaan-dakwaan dibuat Barisan Nasional dan Umno, sedangkan parti itu tidak mampu melaksanak­an apa yang dilakukan kerajaan PH dalam tempoh lapan bulan pemerintah­an.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau menjelaska­n berhubung dakwaan seorang tok batin bahawa teks ucapan dibacanya pada majlis kempen PH yang dihadiri Muhyiddin di Kampung Sungai Lalang di sini pada Ahad, bukan ditulisnya sendiri.

Muhyiddin berkata tiada paksaan kepada tok batin berkenaan untuk membaca ucapan yang dibekalkan kepadanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia