Utusan Borneo (Sabah)

Dua individu ditahan bantu siasatan kes kumpulan samun bermotosik­al

-

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan dua individu bagi membantu siasatan kes kumpulan samun bermotosik­al di sekitar negeri, yang mana salah satu laporan kejadian samun itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin bagaimanap­un enggan mengulas lebih lanjut butir-butir terperinci berkaitan penahanan itu kerana menurutnya masih terlalu awal untuk didedahkan sepenuhnya kepada orang ramai.

Beliau berkata satu pasukan khas yang ditubuhkan sebelum ini bagi memantau kes-kes seumpama itu sedang menyiasat sejauh mana kedua-dua individu ini terlibat dengan kumpulan samun berkenaan.

“Kita akan siasat secara lebih mendalam sama ada mereka ini terlibat secara langsung atau tidak, ataupun masih ada lagi kawan-kawan mereka yang terlibat (dengan kumpulan samun bermotosik­al),” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai sasaran kumpulan samun bermotosik­al itu, beliau berkata mereka melakukan jenayah berkenaan secara rawak dan tidak memilih mangsa, sebaliknya menyerang untuk menyamun mana-mana individu yang sedang membuka kunci rumah mahupun kereta.

“Kumpulan samun ini akan guna peluang dan ruang (melakukan jenayah), iaitu semasa mereka lalu (sambil menaiki motosikal), mereka tengok ada orang sedang hendak buka kunci rumah, mereka akan serang. Mereka akan ambil kesempatan kalau ada orang masuk rumah atau buka pintu kereta,” katanya.

Noor Azam seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes samun bermotosik­al itu supaya menyalurka­nnya segera kepada polis bagi membantu siasatan.

Baru-baru ini, beberapa media melaporkan lapan lelaki menaiki empat motosikal bersenjata­kan parang melakukan samun, dan mereka dikatakan bergerak mencari sasaran rumah-rumah di kawasan sunyi sebelum bertindak.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia