Utusan Borneo (Sabah)

LIMA’19 paling hebat tahun ini

-

KUALA LUMPUR: “Paling hebat, tahun ini”, itulah reaksi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika diminta mengulas mengenai perkembang­an penyertaan Pameran Maritim dan Aeroangkas­a Antarabang­sa Langkawi 2019 (LIMA’19), bermula 26 hingga 30 Mac ini.

Beliau berkata penyertaan penempahan ruang pameran LIMA’19 lebih daripada jangkaan iaitu 109 peratus penyertaan syarikat tempatan dan antarabang­sa.

“Penyertaan LIMA’19 paling ramai dan penempahan ruang pameran melebihi jangkauan kami.

“Saya rasa pameran LIMA’19 tahun ini adalah yang terbaik dan penyertaan LIMA’19 yang ramai ini mungkin penghargaa­n kepada kawasan Parlimen (Langkawi) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaia­n Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmat­an dan Pekerti Terbilang (PPT) 2019 Kementeria­n Pertahanan, di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata kualiti dan ruang penempahan pameran LIMA’19 masih mendapat tempahan walaupun tempoh penempahan sudah ditutup. “Sebelum ini, LIMA lebih kepada keselamata­n dan pertahanan negara manakala LIMA pada tahun ini lebih kepada perniagaan awam,” katanya.

LIMA’19 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pencetus kepada penganjura­n pertama pameran berprestij ini pada 1991, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri keempat ketika itu.

Pameran LIMA’19 kali ini disertai 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabang­sa yang melibatkan 20 negara, diadakan di dua lokasi iaitu Dewan Pameran Antarabang­sa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia