Utusan Borneo (Sabah)

Kanun Keseksaan dicadang pinda, beri hukuman berat kepada penghina agama: Mujahid

-

KUALA LUMPUR:Kanun Keseksaan dicadang agar dipinda bagi memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang didapati menghina agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata pindaan berkenaan secara dasar dipersetuj­ui dan dijangka dapat dibentang pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun ini iaitu bulan hadapan, selepas dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata cadangan pindaan itu bagi mewujudkan satu klausa khusus supaya mereka yang menghina agama boleh dianggap sebagai melakukan jenayah dan diberi hukuman berat.

“Kami buat dalam Kanun Keseksaan hanya kerana kami rasa sudah ada peruntukan itu (dalam Kanun Keseksaan) cuma kami nak bagi ketat lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an ucapan pada majlis pelancaran Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutua­n di sini, pada Selasa.

Tegas Mujahid, pindaan itu tidak hanya spesifik kepada penghina agama Islam, tetapi semua agama dalam negara.

“(Cadangan pindaan merangkumi) Sama ada menimbulka­n kebencian antara agama, timbulkan satu perkara tidak betul supaya orang marah (antara agama) pun dimasukkan dalam konteks kebencian agama.

“Sebab itu kami nampak (pindaan ini) lebih luas dan sudah tentu siapa yang menghina Rasulullah juga akan dimasukkan dalam perenggan ini (klausa khusus yang akan diwujudkan) tetapi dengan syaratsyar­at yang akan ditentukan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Mujahid berkata kerajaan Pakatan Harapan memberi komitmen yang tinggi dalam isu menjaga kemuliaan agama Islam dan perpaduan antara semua agama di Malaysia secara keseluruha­n.

“Jangan main-main dengan kami, kamu boleh berpolitik untuk katakan kami tidak menjaga agama, kamu boleh berpolitik kononnya dia sahaja yang menjaga agama tapi mainan anda itu cukup bahaya. Ini bukan soal kepartian, mainan ini cukup bahaya kepada sentimen umat Islam,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia