Utusan Borneo (Sabah)

Shereen tetapkan sasaran tinggi

-

KUALA LUMPUR: Selepas mengalami kecederaan sejak tiga tahun lepas, pelari kebangsaan Shereen Samson Vallabouy kini menetapkan sasaran tinggi meraih kedudukan podium pada Sukan Asia 2022 dan kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Segar daripada kejayaan mencatat masa peribadi terbaik acara 400m dalam dewan dengan catatan 55.69 saat pada Kejohanan Olahraga dan Balapan Tertutup Northern Sun Intercolle­giate Conference (NSIC) di Minnesota State University, Mankato di Amerika Syarikat pada Sabtu lepas, atlet berusia 20 tahun itu menyasarka­n memadam rekod peribadi terbaiknya, 54.26s dalam kejohanan trek dan padang.

Anak perempuan kepada pasangan bekas pelari trek negara, Samson Vallabouy dan Josephine Mary itu, yang memulakan pengajian peringkat ijazah dalam Pendidikan Jasmani di Winona State University (WSU), Minnesota, sejak tujuh minggu lepas, juga berjaya mengatasi masa terbaik ibunya itu bagi acara 400m dalam dewan dengan catatan 56.05s pada Sabtu lepas.

“Ia adalah kejohanan tertutup ketiga saya sejak tiba di Amerika Syarikat, dan ia lebih kepada perlumbaan taktikal dengan jarak 200m dalam dewan, namun saya masih mampu melakukann­ya dengan baik. Pada masa ini, saya berlatih di bawah bimbingan jurulatih Mason Rebarchek.

“Pada tahun ini, matlamat saya memecahkan rekod peribadi terbaik 54.26s (kejohanan trek dan padang), dan mencatat masa baharu yang tidak dapat saya lakukan sejak tiga tahun lepas kerana masalah kesihatan dan kecederaan. Saya berharap dapat melakukann­ya pada Sukan SEA 2019, namun tarikh itu bertembung dengan peperiksaa­n akhir semester saya pada Disember. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia