Utusan Borneo (Sabah)

Dalang sindiket penipuan pekerjaan terus diburu

-

KUCHING: Dua lagi individu yang disyaki menjadi dalang dalam sindiket penipuan pekerjaan melibatkan 47 warga Malaysia di Kemboja, direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Reman ke atas kedua-dua suspek yang berusia 35 tahun, yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita bermula semalam sehingga 1 Mac.

Permohonan reman dibuat oleh pegawai penyiasat kes, ASP Pricha Azin di hadapan Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan di Mahkamah Majistret Kuching pada jam 3 petang semalam.

Kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 5 petang Ahad lalu, di dua rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada jam 2 petang semalam, untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah, pihaknya turut merampas telefon bimbit, kad mesin pengeluara­n wang automatik (ATM) dan ‘Mastercard Bigpay’ daripada kedua-dua suspek.

Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek lelaki positif dadah jenis syabu.

Mustafa berkata setakat ini, polis telah menerima sebanyak 23 laporan daripada 18 lelaki dan lima wanita berhubung kes penipuan pekerjaan melibatkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Polis sebelum ini juga mereman seorang suspek lelaki berusia 35 tahun yang ditangkap pada Jumaat, selama empat hari sehingga Khamis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia