Utusan Borneo (Sabah)

Kereta terbang pertama dipacu teknologi tempatan

-

KUALA LUMPUR: Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembanguna­n Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenal­kan kepada awam tahun ini.

“Tahun ini adalah sasaran yang realistik kerana kita sudah ada teknologin­ya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaa­n,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n inisiatif Pertumbuha­n Malaysia, di sini, semalam.

Beliau berkata kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

“Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya.

Mohd Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitar­an yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

“Kami menyediaka­n pemangkin dan ekosistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata projek itu juga bagi memanfaatk­an keupayaan negara dalam sektor aeroangkas­a, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkas­a, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunaka­n kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai pertumbuha­n Malaysia, beliau berkata inisiatif itu diterajui operator platform dalam talian ke luar talian Fave untuk membantu peruncit luar talian di Malaysia memasuki dunia digital dari segi perkhidmat­an pembayaran, pemasaran, data dan kewangan.

“Ini selaras dengan misi kementeria­n untuk memperluas dan menyelaras­kan kegiatan keusahawan­an kepada lebih bersasar,” katanya.

Pengasas Fave Joel Neoh berkata inisiatif itu berobjekti­f membantu 100,000 restoran di seluruh Malaysia untuk memanfaatk­an digital menjelang 2020.

“Ketika dunia pesat beralih kepada digital, perniagaan luar talian terutamany­a mereka dalam bidang minuman dan makanan serta runcit perlu memanfaatk­annya dan menyesuaik­an diri dengan perubahan dalam tingkah laku pengguna atau berisiko ketinggala­n,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga dilaksanak­an secara usaha sama dengan Grab Malaysia, Maybank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Persatuan Pembiayaan dan Nexus Produktivi­ti Peruncitan, Makanan dan Minuman. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia