Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki ingin pinjam RM5,000 tetapi rugi RM72,999

-

KUANTAN: Hanya kerana ingin meminjam RM5,000, seorang lelaki kerugian RM72, 999 selepas membuat 47 transaksi pembayaran sejak Mei tahun lalu hingga dua hari lepas bagi mendapatka­n wang pinjaman itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 39, sebelum itu tertarik dengan tawaran pinjaman melalui laman sosial Facebook sebelum bertindak memberikan pelbagai maklumat yang diminta.

“Mangsa yang telah berhenti bekerja pada tahun lalu, kemudian dihubungi oleh seorang wanita yang memperkena­lkan diri sebagai Miss Kriss dari Syarikat EZ Enterprise Moneylende­r.

“Lelaki itu kemudian telah diminta membuat bayaran sebelum permohonan pinjaman itu diluluskan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya mangsa difahamkan telah meminjam wang daripada bekas majikan dan keluargany­a untuk membuat pembayaran tersebut dan telah memasukkan wang secara berperingk­at berjumlah RM72,999 ke dalam 14 akaun yang diberikan.

Mohd Wazir berkata mangsa hanya mengesyaki ditipu apabila suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dua hari lepas dan lelaki itu kemudian bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Sabtu.

Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia