Utusan Borneo (Sabah)

PH terima keputusan PRK Dun Semenyih: Lim

-

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) menerima kegagalan calon parti itu untuk mempertaha­nkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan menyifatka­n keputusan itu sebagai hak dan suara rakyat dalam memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Tentu bagi saya menerima keputusan daripada rakyat ini. Memang ini adalah hak dan suara rakyat. Ekspektasi­nya ialah Barisan Nasional (BN) akan dilihat macam mana mereka hendak menunaikan janji mereka dan kenyataan yang dibuat dalam pilihan raya kecil itu,” kata Timbalan Presidenny­a Lim Guan Eng.

“Untuk PH kita akan terus berusaha untuk menyatu padukan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai larian ‘I Love Penang Run’, di sini pada Ahad.

Keputusan PRK DUN Semenyih pada Sabtu menyaksika­n BN berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi memenangi pertanding­an empat penjuru itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Dalam perkembang­an lain, mengulas mengenai pendedahan penganalis­is politik Raja Petra Kamarudin mengenai kebocoran kertas siasatan membabitka­n projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang melibatkan Lim dan beberapa pemimpin kanan DAP, Menteri Kewangan itu berkata tuduhan itu adalah tidak berasas dan satu pembohonga­n.

Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata umum mengetahui Pulau Pinang mengamalka­n konsep tender terbuka sekali gus tiada kemungkina­n wujudnya unsur rasuah.

“Ini memang satu tuduhan pembohonga­n. Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan sebelum ini telah membuat tuduhan (rasuah) terhadap saya dan saya saman dia. Beliau telah pun menarik balik kenyataan dan melahirkan rasa kesal dan buat bayaran RM10,000 kepada saya.

“Jelas sekali ini memang satu penipuan yang diadakan untuk memburukka­n bukan sahaja nama saya dan beberapa pemimpin DAP malah kerajaan negeri Pulau Pinang dan PH. Saya rasa amat jelas bila Pulau Pinang amalkan tender terbuka, kemungkina­n seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Raja Petra dalam portal Malaysia Today sebelum ini mendedahka­n beberapa artikel yang memaparkan kertas siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek terowong dasar laut dan projek jalan raya Pulau Pinang dengan anggaran RM6.3 bilion.

Berdasarka­n artikel-artikel tersebut, beberapa bekas Exco Pulau Pinang turut dinamakan dalam dokumen berkenaan.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia