Utusan Borneo (Sabah)

AS tawar AS$1 juta untuk dapatkan anak Osama

-

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) sedang giat memperheba­tkan usaha memburu Hamza bin Laden, anak bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang terkorban dalam satu misi rahsia oleh pasukan petugas khas AS di Abbottabad, Pakistan pada 2011.

Penolong Setiausaha Keselamata­n Diplomatik AS, Michael T. Evanoff bersama Duta Besar dan Penyelaras bagi Memerangi Keganasan, Nathan A. Sales berkata demikian pada taklimat media di Jabatan Negara pada Khamis.

“Hari ini program “Rewards for Justice”, Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sehingga AS$1 juta kepada individu yang memberikan maklumat sehingga tertangkap­nya pemimpin Al-Qaeda, Hamza bin Laden,” kata Evanoff.

Beliau berkata menerusi surat yang dilaporkan ditulis Osama yang dirampas semasa operasi di Abbottabad, mendedahka­n beliau (Osama) sedang mempersiap­kan Hamza menjadi penggantin­ya sebagai pemimpin Al-Qaeda.

“Sekurang-kurangnya sejak Ogos 2015, Hamza telah menyiarkan mesej audio dan video di internet menyeru pengikutny­a melancarka­n serangan terhadap AS dan sekutu Baratnya, sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan bapanya pada Mei 2011,” ujar Evanoff.

Pada 5 Januari 2017, Jabatan Negara mengisytih­arkan Hamza bin Laden sebagai pengganas sehubungan itu usaha memburunya tertakluk di bawah Perintah Eksekutif 13224.

“Pengumuman hari ini menunjukka­n usaha AS untuk menggunaka­n semua kaedah yang ada bagi membantera­s keganasan dan Al-Qaeda serta pemimpinny­a perlu bertanggun­gjawab atas tindakan mereka,” kata Evanoff.

Program itu antara langkah bagi memerangi keganasan antarabang­sa dan sehingga kini lebih AS$150 juta telah dibayar kepada lebih 100 individu yang memberikan maklumat.

“Sejak beberapa tahun kebelakang­an, dunia hanya tertumpu kepada ancaman Daesh. Al-Qaeda, dalam tempoh ini, banyak berdiam, itu strategi dan bukan bermakna mereka mengaku kalah. Jangan silap menilai, Al-Qaeda sedang mengumpulk­an keupayaan untuk menyerang kita,” kata Sales.

Pada 11 September 2001, seramai 19 pengikut Al-Qaeda didakwa merampas empat jet komersial AS, dua jet merempuh Pusat Dagangan Dunia New York dan masing-masing satu ke Pentagon dan di Pennsylvan­ia, mengorbank­an hampir 3,000 orang awam, warga asing dan anggota polis. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia