Utusan Borneo (Sabah)

Murid tahun enam maut dilanggar dua kali

- Oleh NORWAHIDA YAMALUDDIN

LAHAD DATU: Seorang murid lelaki maut setelah dilanggar dua kenderaan pacuan empat roda ketika hendak melintas di Jalan POIC baharu berhampira­n jambatan Sungai Edam, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata mangsa dikenali Lee Tzee Sheong, 12, murid Sekolah Kebangsaan Lahad Datu Empat ketika kejadian sedang berjalan kaki pulang dari sekolah menuju ke rumahnya di Kampung Kenanga kira-kira jam 6 petang.

Katanya, sebuah kereta pacuan empat roda warna maroon tidak dapat mengelak dan melanggarn­ya kerana tindakan mangsa tibatiba melintas jalan.

Demikian juga kenderaan pacuan empat roda berwarna putih yang juga melanggar mangsa.

“Pemandu kereta maroon cuba mengelak tetapi telah melanggar mangsa sehingga mangsa tercampak dan dilanggar lagi kereta warna putih,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Nasri berkata kenderaan berwarna maroon telah bertindak memecut kenderaann­ya melarikan diri manakala pemandu kenderaan putih telah pergi ke balai polis membuat laporan.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dihantar sendiri bapanya ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatka­n rawatan.

Pada jam 9.50 malam, mangsa dimaklumka­n meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di kepalanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalanraya 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia