Utusan Borneo (Sabah)

Suspek kes tipu kerja ditahan

-

SIBU: Dua suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pekerjaan membabitka­n lapan mangsa untuk bekerja di kem pembalakan di Liberia berjaya ditahan secara berasingan antara jam 9.30 hingga 10 pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdaganga­n Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata, suspek pertama ditahan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu di pekarangan Balai Polis Sentral Sibu.

Katanya, seorang lagi suspek dicekup di sebuah rumah di Jalan Cherry.

“Kedua-dua suspek berumur 53 dan 60 tahun merupakan penduduk tempatan,” ujarnya.

Lapan lelaki yang menjadi mangsa kes penipuan pekerjaan di Liberia berusia antara 39 dan 66 tahun ialah Aji Surau, Bon Egat, Salim Tahir, Suhaili Gani, Gawan Masin, Enyang Ato, Untol Luyang dan Dingai Nyalak.

Katanya, pihak polis telah bertindak membuat penangkapa­n dua suspek terbabit susulan satu laporan polis yang dibuat salah seorang daripada lapan mangsa di Lapangan Terbang Sibu malam kelmarin (Isnin).

“Pengadu, 40, yang berasal dari Kapit dalam laporannya berkata, dia telah menerima satu mesej melalui aplikasi WeChat daripada seorang lelaki yang menawarkan­nya pekerjaan di sebuah kem pembalakan di Liberia pada Disember lalu.

“Beliau telah dimaklumka­n lelaki itu (suspek) bahawa dia akan memproses permit kerja, gaji sehingga RM8,000 sebulan, makanan dan minuman percuma sementara tiket penerbanga­nnya ke Liberia akan ditanggung syarikat di sana,” katanya.

Mustafa berkata, mangsa bersama tujuh rakan yang lain telah bersetuju dengan tawaran itu dan telah berjumpa dengan seorang lelaki untuk menguruska­n visa dan tiket penerbanga­n mereka.

“Kesemua mereka kemudian diiringi seorang lelaki ke Liberia pada 3 Januari lalu dan setibanya di sana seorang lelaki lain telah mengiringi mereka ke sebuah perkampung­an di Gunung Barclay,” katanya.

Namun pekerjaan yang diharapkan tidak juga wujud sejak sebulan berada di sana.

“Mereka terpaksa menjual barangan peribadi termasuk telefon bimbit dan jam mereka untuk menampung keperluan harian dan memakan pucuk ubi dan garam untuk mengalas perut semasa berada di sana.

“Mereka kemudian dibawa balik ke Malaysia pada 3 Mac dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 9.15 malam Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

 ??  ?? SALAH seorang suspek (dua kanan) ditahan di rumahnya di Jalan Cherry pagi Selasa.
SALAH seorang suspek (dua kanan) ditahan di rumahnya di Jalan Cherry pagi Selasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia