Utusan Borneo (Sabah)

Dapatkan maklumat mengenai syarikat, individu tawar pekerjaan di luar negeri

-

KUCHING: Rakyat Sarawak khasnya wanita perlu mendapatka­n maklumat sahih mengenai syarikat atau individu yang menawarkan pekerjaan di luar negeri.

Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia bagi mengelakka­n mereka ditipu individu yang tidak bertanggun­gjawab, yang disifatkan dilatih khas untuk melakukan perkara seumpama itu.

Menurutnya ia bukan sahaja berkaitan dengan tawaran pekerjaan di luar bahkan penipuan seperti ‘Macau Scam’ yang juga menjadikan wanita sebagai mangsa.

“Bekerja di luar (negeri) tidak salah tetapi pastikan dapat maklumat secukupnya mengenai pekerjaan ditawarkan.

“Individu tidak bertanggun­gjawab itu biasanya mempunyai skrip yang bagus seperti memuji dan sebagainya, sama juga seperti Macau Scam ramai wanita terpengaru­h.

“Maka berhati-hati kerana mereka ini adalah mereka yang telah dilatih khas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Self-Genius anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Selasa.

Tambah Fatimah, malahan beliau tidak menolak kes penipuan melibatkan 40 rakyat Sarawak yang ditahan di Kemboja juga sudah tersedia skrip bagi mempengaru­hi mereka yang terjebak.

Katanya, malahan dalang juga selalunya bijak mencari kelemahan mangsa yang ditipu yang menjadi peluang kepada mereka untuk terjerat.

“Mereka ini tahu dan bijak mencari kelemahan mangsa kerana ia adalah peluang kepada mereka selain mereka telah dilatih dengan skrip khas,” katanya.

Mengenai kes terbaharu melibatkan lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Liberia selepas ditipu satu sindiket pekerjaan, Fatimah berkata ia satu kes berbeza dengan tahanan di Kemboja baru-baru ini.

“Di Kemboja ia melibatkan tahanan dan kes ini (Liberia) ia tidak begitu ada masalah kerana Wisma Putra telah membantu dalam rundingan sehingga mereka kembali ke tanah air semalam.

“Mereka ini dijanjikan pekerjaan tetapi apabila sampai di sana tiada pekerjaan seperti yang dikatakan dan mereka mahu pulang ke negeri ini tetapi tiada wang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia