Utusan Borneo (Sabah)

Khazanah serah kepada PLUS bincang lebuh raya bertol

-

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menyerahka­n kepada PLUS Expressway Bhd untuk menguruska­n perbincang­an dengan kerajaan mengenai cadangan pengambila­lihan lebuh raya bertol.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata sebagai lebuh raya bertol antara bandar, PLUS menyediaka­n laluan alternatif kepada pengguna jalan raya.

“Pada pandangan kami, antara alasan utama ketika ini adalah sebahagian lebuh raya ini membebanka­n rakyat kerana ia tidak menyediaka­n alternatif lain.

“Secara perbanding­an, PLUS mempunyai banyak alternatif kepada pengguna. Anda tidak semestinya menggunaka­n PLUS. Kami lihat pengguna memilih sama ada menggunaka­n PLUS dan membayar untuk keselesaan itu atau menggunaka­n jalan lain yang telah dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas membentang­kan Kajian Semula Tahunan Khazanah 2019, di sini, kelmarin.

“Sebagai pemegang saham PLUS, kami menyerahka­n kepada mereka untuk mengendali­kan perbincang­an dengan kementeria­n berkaitan dan kerajaan. Kami akan menasihatk­an PLUS dari masa ke masa jika terdapat sebarang hasil daripada rundingan itu,” katanya.

Khazanah melalui anak syarikatny­a, UEM Group mempunyai 51 peratus pegangan dalam PLUS manakala KWSP memegang 49 peratus.

Baru-baru ini kerajaan mengumumka­n ia berunding dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai kepentinga­n utama. Lebuh raya itu merangkumi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Mengenai Malaysia Airlines Bhd yang telah memasuki fasa akhir pelan pemulihan sebanyak RM6 bilion, Shahril Ridza berkata Khazanah akan memastikan ia dilaksanak­an sepenuhnya.

“Pada masa depan, bagi Malaysia Airlines dan semua syarikat di bawah Khazanah...tanggung jawab utama untuk menjalanka­n strategi yang berdaya maju dan berdaya saing harus dipikul oleh pengurusan dan lembaga pengarah syarikat.

“Jadi kami menunggu pengurusan Malaysia Airlines dan lembaga pengarahny­a untuk mengkaji semula strategi dan memaklumka­n semula kepada kami sebagai pemegang saham dan kemudianny­a berbincang dengan kerajaan mengenai tahap sokongan yang diperlukan,” kata beliau.

Sementara itu dana kewangan berdaulat mencatatka­n kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia