Utusan Borneo (Sabah)

ATM percaya lebih ramai PTI sembunyi di sempadan sebelum masuk M’sia

-

ALOR SETAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) percaya lebih ramai warga asing sedang bersembuny­i di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, sebelum menyusup masuk ke negara ini, susulan penangkapa­n dua lagi pendatang asing tanpa izin (PTI) di kawasan itu petang Selasa.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata seorang lelaki dan wanita warga Myanmar berusia 31 dan 19 tahun ditahan di kawasan bukit laluan paip gas berhampira­n Pos 5 pada 3 dan 5 petang.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan oleh dua kumpulan ronda pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan (5RS).

Beliau berkata, warga asing terbabit dipercayai sebahagian daripada lima yang ditahan semalam selepas terpaksa keluar dari tempat persembuny­ian akibat lapar dan dahaga.

“Wanita terbabit ditahan pada 3 petang ketika sedang berjalan di kawasan itu seorang diri, dan selepas diperiksa dia gagal menunjukka­n sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Usaha menjejak baki kumpulan itu diteruskan oleh kumpulan ronda dan kira-kira pada 5 petang, seorang lelaki ditahan selepas dilihat berjalan di kawasan sama,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Abdul Aziz berkata warga asing yang ditahan itu kemudianny­a diberikan makan serta minum sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Kita akan terus mengesan mereka yang kini dipercayai masih bersembuny­i di sekitar sempadan dan anggota sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkina­n,” katanya.

Pada Selasa, salah seorang daripada lima yang ditahan, iaitu seorang lelaki Rohingnya menyerah diri akibat terlalu dahaga dan keletihan berhampira­n Pos 5.

Lima warga asing berusia 19 hingga 23 tahun itu ditahan di beberapa pos operasi 6 Briged selepas dipercayai berpecah dan bersembuny­i di kawasan semak bagi mengelak dikesan pasukan keselamata­n. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia