Utusan Borneo (Sabah)

Penculik bebas ibu pemain sayap Nigeria, Kalu

-

Ibu pemain sayap Bordeaux dan Nigeria Samuel Kalu telah dibebaskan selepas diculik sekumpulan lelaki bersenjata enam hari lalu, kata polis Nigeria.

Ozuruonye Juliet Kalu telah diculik pada 27 Februari ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di tenggara bandar Abia.

Tidak jelas sama ada wang tebusan yang diminta telah dibayar tetapi pihak berkuasa mengesahka­n bahawa wanita itu dibebaskan sekitar jam 2300 GMT pada Isnin.

“Memang benar dia telah dibebaskan dan diserah kepada keluargany­a,” kata Godfrey Ogbonna dari Polis Negeri Abia.

“Saya juga boleh mengesahka­n bahawa siasatan masih berjalan bagi memberkas mereka yang bertanggun­gjawab. Kami akan membuat kenyataan sebaik sahaja mendapat maklumat lanjut, namun buat masa ini, dia selamat dan telah kembali ke pangkuan keluargany­a.”

Meskipun berlaku insiden penculikan itu, Kalu akan beraksi untuk skuad Bordeaux dalam perlawanan Liga Perancis 1 yang dijadualka­n semula bagi menentang Montpellie­r pada Selasa.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang turut disenaraik­an skuad Nigeria untuk beraksi pada Isnin dalam pusingan kelayakan Piala NegaraNega­ra Afrika menentang Seychelles dan perlawanan persahabat­an dengan Mesir, telah menjaringk­an gol dalam lima aksi di Super Eagles sejak penampilan sulungnya tahun lepas.

Insiden penculikan, yang lebih kerap berlaku dalam kalangan pekerja minyak dan golongan kaya serta terkenal, adalah perkara biasa di Nigeria, namun kebelakang­an ini, pemain bola sepak dan keluarga mereka sering menjadi sasaran.

Bapa kapten skuad Nigeria John Mikel Obi telah diculik buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun pada Jun, sebelum dia dibebaskan selepas wang tebusan sebanyak 10 juta naira (kira-kira AS$27,500) dibayar.

Pada 2008, abang bekas pemain pertahanan Everton Joseph Yobo turut diculik sebelum dibebaskan dua minggu kemudian.

Kalu menyertai Bordeaux selepas berpindah dari sebuah kelab Belgium iaitu KAA Gent pada Ogos 2018. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia